
KUALA LUMPUR, 27 November – Persiapan pelancaran Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini memasuki fasa penyelarasan akhir antara kedua-dua negara dengan inisiatif, dijangka dilancarkan, awal tahun depan.
- Perkembangan JS-SEZ bakal dibincangkan dalam Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura minggu hadapan.
- JS-SEZ bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta meningkatkan pergerakan barangan dan manusia merentasi sempadan.
- Inisiatif itu menyasarkan KDNK Johor sebanyak RM260 bilion dan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, perkembangan JS-SEZ menjadi antara agenda penting yang bakal dibincangkan dalam Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura (ALR) yang dijadualkan berlangsung minggu hadapan.
“Penyelarasan berkenaan penting bagi memastikan pelaksanaan JS-SEZ dapat berjalan lancar dan teratur, sekali gus memperkukuh kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.
“Inisiatif itu dijangka merancakkan aktiviti pelaburan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan berkualiti yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,”katanya menerusi kenyataan.
Malaysia dan Singapura telah memeterai perjanjian JS-SEZ pada 7 Januari 2025 bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi kedua-dua negara, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta meningkatkan pergerakan barangan dan manusia merentasi sempadan.
Pelan induk JS-SEZ pada awalnya dijadual dilancarkan pada 30 Mac lepas, namun ditangguhkan susulan keputusan Kabinet pada 17 Mac.
JS-SEZ menyasarkan untuk menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor sebanyak RM260 bilion menjelang 2030 selain mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
JS-SEZ merupakan antara inisiatif strategik yang mampu mengubah landskap ekonomi Johor untuk dekad akan datang, selain Zon Kewangan Khas (SFZ), Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), projek Elevated Autonomous Rapid Transit (ART), Sistem Transit Rapid (RTS) serta pelebaran Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).