Kuasa beli meningkat, REIT peruncitan berpotensi raih manfaat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 November – Peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah Belanjawan 2027 berpotesi memberi limpahan kepada sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) peruncitan, menerusi peningkatan kuasa beli dan perbelanjaan isi rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • BIMB Securities menjangka bantuan rakyat dan pelepasan cukai merancakkan penggunaan domestik, khususnya menjelang musim perayaan suku pertama 2027.
  • REIT peruncitan menjadi pilihan utama berbanding REIT perindustrian dan pejabat, disokong pendapatan lebih kukuh serta penghunian pusat beli-belah yang tinggi.
  • Pusat beli-belah strategik berpotensi meningkatkan sewa dan mengoptimumkan ruang komersial, sekali gus menyokong pertumbuhan agihan pendapatan seunit.
  • Pavilion REIT ialah pilihan utama BIMB Securities, disokong pembangunan semula ruang Parkson yang dijangka menambah hasil sewa dan DPU.

Menurut BIMB Securities Research, penyaluran bantuan kepada rakyat, termasuk penjawat awam, serta pelepasan cukai individu berpotensi merancakkan aktiviti penggunaan domestik, khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri pada suku pertama 2027.

Berdasarkan prospek itu, REIT peruncitan menjadi segmen pilihan utama firma berkenaan berbanding REIT perindustrian dan pejabat, didorong asas pendapatan yang lebih kukuh meskipun pulangan dividennya bukan yang tertinggi dalam pasaran.

“Momentum sektor itu dijangka berterusan susulan kadar penghunian pusat beli-belah yang kekal tinggi, potensi peningkatan kadar sewa melalui pembaharuan kontrak serta aktiviti perbelanjaan yang lebih rancak sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya dalam satu nota kajian.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menyatakan, segmen pejabat dilihat berdepan cabaran lebih besar, khususnya dari segi mengekalkan penyewa sedia ada dan menanggung kos bagi mendapatkan penyewa baharu.

“Pusat beli-belah yang terletak di kawasan strategik masih mempunyai ruang untuk meningkatkan hasil sewaan menerusi rundingan semula kadar sewa dan pengoptimuman ruang komersial, sekali gus membuka peluang pertumbuhan agihan pendapatan seunit (DPU),” tambahnya.

Dalam kalangan REIT peruncitan, Pavilion REIT menduduki kedudukan teratas sebagai pilihan BIMB Securities dengan nilai saksama RM2.20 seunit, serta unjuran hasil dividen 6.73 peratus bagi tahun kewangan 2027 (FY27).

Antara faktor yang menyokong prospeknya ialah pembangunan semula ruang bekas Parkson seluas 68,800 kaki persegi di Pavilion Kuala Lumpur kepada 37 premis perniagaan, yang dijangka menjana pendapatan sewa tambahan dan membantu mengimbangi peningkatan kos pembiayaan.

Langkah itu dijangka menyumbang kepada peningkatan DPU Pavilion REIT sebanyak empat peratus kepada 10.5 sen pada FY27, berbanding 10.1 sen pada FY26.

Unjuran itu dibuat ketika harga unit REIT berkenaan susut 13.8 peratus sejak awal tahun sehingga 16 November 2026.

Sunway REIT pula menjadi pilihan kedua dengan unjuran hasil dividen 6.78 peratus bagi FY27, sementara IGB REIT menawarkan 5.15 peratus, disokong peningkatan kadar sewa dan sumbangan pendapatan daripada Mid Valley Southkey.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.