Affin Hwang lancar ELI, tawar peluang pulangan lebih tinggi

Pelabur boleh menyesuaikan pendedahan pasaran mengikut objektif portfolio masing-masing

KUALA LUMPUR, 16 JunAFFIN Hwang Investment Bank Berhad melancarkan Pelaburan Berkaitan Ekuiti (ELI), produk pelaburan berstruktur baharu yang membolehkan pelabur memanfaatkan ketidaktentuan pasaran untuk menjana pulangan lebih tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • AFFIN Hwang komited menawarkan peluang pulangan lebih menarik berbanding pelaburan ekuiti secara langsung.
  • Produk memberi pulangan kupon lebih tinggi dan jika ditukar, pelanggan boleh membeli saham pada harga lebih rendah daripada pasaran.
  • Membolehkan pelabur menyesuaikan pendedahan untuk meningkatkan hasil, mengurus risiko penurunan dan menyasarkan pulangan tertentu.
  • Hanya ditawarkan kepada pelabur berprofil tinggi mengikut garis panduan Suruhanjaya Sekuriti; tiada perlindungan prinsipal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hanif Ghulam Mohammed memaklumkan produk itu merupakan komitmen bank untuk menawarkan peluang kepada pelabur memperoleh pulangan yang lebih menarik berbanding pelaburan ekuiti secara langsung, selain membantu mengurus risiko pasaran dengan lebih berkesan.

“Dalam keadaan semasa, apabila harga minyak tidak menentu dan pasaran ekuiti juga berada dalam keadaan tidak stabil, terdapat banyak volatiliti dalam pasaran.

“Jadi, berbanding membeli pendedahan secara langsung, produk ini membolehkan pelanggan memperoleh pulangan kupon yang lebih tinggi.

“Sudah tentu, ia juga menawarkan pelbagai peluang kepada pelanggan. Jika berlaku penukaran, pelanggan boleh membeli saham pada harga yang lebih rendah daripada harga semasa di pasaran,”katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran produk berkenaan di Menara AFFIN @ TRX.

Tambah beliau, produk berkenaan juga membolehkan pelabur menyesuaikan pendedahan pasaran mengikut objektif portfolio masing-masing termasuk meningkatkan potensi hasil, mengurus risiko penurunan dan menyasarkan pulangan tertentu.

Bagaimanapun, produk itu hanya ditawarkan kepada pelabur berprofil tinggi mengikut garis panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan tidak menawarkan perlindungan prinsipal.

“Produk seperti ini hanya boleh ditawarkan kepada pelabur berprofil tinggi dan tidak mempunyai perlindungan prinsipal. Justeru kadar pulangannya lebih tinggi berbanding produk pelaburan tradisional,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.