
KUALA LUMPUR, 16 Jun –Perdagangan Malaysia berkembang kepada RM3.1 trilion pada tahun 2025, merangkumi RM1.6 trilion eksport dan RM1.5 trilion import.
- Lima negeri utama (Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak) menyumbang 84.3% daripada jumlah perdagangan negara pada 2025.
- Eksport dikuasakan oleh litar bersepadu elektronik dan barangan E&E, terutama di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
- Indeks Keterbukaan Perdagangan meningkat kepada 151.0 pada 2025, mencerminkan integrasi perdagangan dan ekonomi yang lebih kukuh.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi kenyataan berkata prestasi itu disumbang lima negeri utama masing-masing, Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak, yang secara keseluruhan menyumbang 84.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara pada tahun berkenaan.
“Pertumbuhan eksport yang kukuh didorong oleh litar bersepadu elektronik serta barangan elektrik dan elektronik (E&E) lain, khususnya di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
“Sementara itu, keluaran petroleum ditapis menyumbang kepada eksport di Johor, manakala minyak kelapa sawit merupakan antara penyumbang utama di Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan.
Laporan berkenaan turut menunjukkan Indeks Keterbukaan Perdagangan (IKP) Malaysia meningkat kepada 151.0 pada tahun 2025, berbanding 149.0 pada tahun sebelumnya, sekaligus mencerminkan integrasi yang lebih kukuh antara perdagangan dan ekonomi.
Pulau Pinang mencatat IKP tertinggi iaitu 575.1 pada 2024, meningkat daripada 540.6 pada 2023, diikuti Johor (332.1) dan Kedah (234.2).
“IKP boleh digunakan dalam menganalisis corak perdagangan dan kepentingan perdagangan kepada ekonomi,” kata kenyataan itu.
Mengulas prestasi eksport mengikut negeri, beberapa negeri mencatat peningkatan iaitu Johor (RM12.6 bilion), Selangor (RM7.6 bilion), Melaka (RM4.2 bilion), Perak (RM117.4 juta), Sabah (RM134.7 juta) dan Perlis (RM0.5 juta).
Bagaimanapun, eksport menurun di Sarawak (RM15.1 bilion), Kedah (RM10.3 bilion), Terengganu (RM8.4 bilion), Kuala Lumpur (RM4.8 bilion), Pahang (RM4.8 bilion), Negeri Sembilan (-RM1.4 bilion), Labuan (RM1.0 bilion) dan Kelantan (RM96.0 juta).
Bagi import pula, Malaysia mencatat peningkatan 6.0 peratus kepada RM1.5 trilion pada 2025, dengan Pulau Pinang sekali lagi mendahului kenaikan import sebanyak RM60.4 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM24.8 bilion), Selangor (RM23.5 bilion), Johor (RM6.5 bilion), Perak (RM2.9 bilion), Sabah (RM582.8 juta) dan Kelantan (RM112.7 juta).