
KOTA BHARU, 17 Jun – Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) terus memperkasa pembangunan usahawan digital serta memperluas peluang ekonomi berasaskan teknologi.
- Melahirkan usahawan yang mampu menjalankan dan mengembangkan perniagaan, menyesuaikan diri dengan teknologi serta kekal berdaya saing.
- Peserta bermula dengan pengetahuan minimum tentang AI, pemasaran digital dan e-dagang; kini mampu menguasai AI bagi perniagaan masing-masing.
- Hanya 16 peserta terpilih daripada 32 untuk mengikuti siri latihan, bengkel dan bimbingan; peserta mewakili sektor makanan, produk sejuk beku, jahitan dan kraf.
Pengerusi Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, melahirkan usahawan yang bukan sahaja mampu menjalankan perniagaan dengan berkesan, malah berupaya mengembangkan perniagaan, menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi digital yang semakin mencabar.
“Ramai peserta memulakan program ini dengan pengetahuan yang sangat minimum mengenai kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital dan platform e-dagang, tetapi hari ini kita melihat peserta yang sama mampu menguasai teknologi kecerdasan buatan dalam perniagaan yang diusahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmian Program Jelajah Digitalpreneur Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) : Pemantauan dan Lawatan Industri yang berlangsung selama tiga hari iaitu 15 hingga 17 Jun di sebuah hotel di Kelantan, dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan.
Hanya 16 peserta terbaik yang akan dipilih daripada 32 orang peserta yang menyertai Program Keusahawanan Digital FCoEE untuk mengikuti siri latihan, bengkel dan bimbingan yang telah dirangka secara sistematik.
Kesemua yang terpilih merupakan usahawan yang berkaliber, berdaya tahan dan berani menghadapi cabaran dunia perniagaan berdasarkan merit, disiplin, komitmen, kesungguhan serta kemampuan mereka mengaplikasikan ilmu yang dipelajari ke dalam perniagaan masing-masing.
Usahawan berkenaan melibatkan pelbagai sektor perniagaan seperti makanan dan minuman; kuih-muih dan makanan ringan; produk sejuk beku; jahitan dan sulaman serta kraf tangan.