Ringgit dijangka diniagakan agak positif berbanding Dolar AS minggu depan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 21 November– Ringgit dijangka diniagakan agak positif berbanding dolar AS minggu depan menjelang pengumuman data ekonomi penting Amerika Syarikat (AS) yang dijangka memberikan petunjuk seterusnya mengenai prospek dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan kepada indeks harga PCE Oktober sebagai petunjuk inflasi pilihan Fed, dengan jangkaan kenaikan pada data keseluruhan dan teras.
  • Indeks Keyakinan Pengguna Conference Board dijangka meningkat sedikit, dan kebarangkalian kenaikan kadar faedah Disember menurun sedikit menurut pasaran niaga hadapan.
  • Paras sokongan Dolar AS/Ringgit pada 4.0974; ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran 4.09 hingga 4.10.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata para peniaga akan memantau rapat indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS bagi Oktober 2026, yang dijadual dikeluarkan pada 25 November.

“Tumpuan minggu depan terarah kepada petunjuk inflasi pilihan Fed iaitu indeks harga PCE Oktober. Angka inflasi PCE keseluruhan dan teras masing-masing dijangka meningkat kepada 3.8 peratus (September: 3.6 peratus) dan 3.2 peratus (September: 3.1 peratus), berdasarkan anggaran konsensus,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata para peniaga juga akan memantau Indeks Keyakinan Pengguna Conference Board bagi November, yang dijadualkan dikeluarkan pada 24 November, untuk mendapatkan petunjuk seterusnya mengenai prospek ekonomi AS.

“Indeks Keyakinan Pengguna Conference Board akan dikeluarkan pada minggu depan, dengan jangkaan peningkatan sedikit kepada 92.1 mata pada November (Oktober: 91.7 mata). Setakat ini, kebarangkalian kenaikan kadar faedah pada Disember menurun sedikit kepada 99.8 peratus, berdasarkan pasaran niaga hadapan kadar faedah,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata paras sokongan segera bagi Dolar AS/Ringgit kini berada pada 4.0974, oleh itu, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran 4.09 hingga 4.10 minggu depan.

Bagi tempoh Jumaat ke Jumaat, ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada 4.1105/1150 daripada 4.0845/0890 pada minggu sebelumnya.

Sepanjang minggu dagangan yang baru berakhir ini, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.3872/3931 daripada 5.4046/4106 pada Jumaat minggu sebelumnya, mengukuh berbanding euro kepada 4.5113/5162 daripada 4.5166/5216, namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.5886/5916 daripada 2.5549/5579.

Ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.1179/1358 daripada 12.0611/0833 pada Jumaat minggu sebelumnya, turun berbanding peso Filipina kepada 6.44/6.45 daripada 6.41/6.42, berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 224.9/225.3 daripada 224.3/224.6, serta susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1882/1919 daripada 3.1729/1769.- BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.