
KUALA LUMPUR, 20 November – Pengiktirafan yang diterima daripada Persatuan Francais Malaysia (MFA) sebagai Wartawan Francais Terbaik 2026 disifatkan sebagai satu pemangkin semangat buat pengamal media untuk terus menghasilkan laporan berita yang lebih komprehensif dan berkualiti.
- Kejayaan hasil usaha berpasukan, sokongan pengurusan RTM dan rakan media, bukan pencapaian peribadi.
- Peralihan dari pembaca berita kepada wartawan lapangan memerlukan turun padang dan menulis skrip sendiri.
- Tugasan Meja Ekonomi menuntut kepekaan isu ekonomi dan mencari sudut pandang tepat, bukan hanya bergantung kepada kenyataan media.
- Jangan mudah berputus asa. Terus belajar, buat kajian dan persediaan rapi sebelum setiap tugasan.
Wartawan Meja Ekonomi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norlelah Mohd Nor, berkata kejayaan tersebut bukanlah milik peribadi, sebaliknya ia merupakan hasil titik peluh dan kerjasama berpasukan di Meja Ekonomi, sokongan pengurusan RTM, serta rakan-rakan media secara keseluruhannya.
“Sebagai wartawan, kita hanya menjalankan tugas. Pengiktirafan sebegini merupakan satu penyuntik semangat untuk kita terus berkarya dengan lebih cemerlang.
“Ia satu dunia yang berbeza. Dahulu saya hanya membaca skrip yang disediakan, tetapi kini kitalah yang turun padang, mencari berita, dan menulis skrip tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual RTM.

Anugerah tersebut disampaikan Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan.
Penerima membawa pulang sijil penghargaan serta trofi.
Dalam pada itu, Norlelah turut berkongsi pengalaman kerjayanya yang telah berkhidmat selama 20 tahun sebagai pembaca berita mengakui peralihan ke bidang kewartawanan di Meja Ekonomi sejak enam tahun lalu memberikan cabaran dan perspektif yang berbeza.
Jelas beliau, tugasan di belakang tabir menuntut wartawan untuk lebih peka dengan isu ekonomi semasa dan mahir mencari sudut pandangan berita yang tepat, tanpa hanya bergantung kepada kenyataan media semata-mata.
“Kepada mereka yang ditugaskan di Meja Ekonomi, jangan mudah berputus asa. Belajar, belajar dan terus belajar. Walaupun sudah lama dalam industri, saya sendiri masih menimba ilmu.
“Paling penting, sebelum keluar untuk sebarang tugasan, buat kajian dan persediaan rapi tentang isu ekonomi yang ingin dikupas serta soalan yang bakal diajukan kepada individu yang ditemu bual,” jelasnya.