
RIYADH, 20 November – Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi yang memerangi kumpulan Houthi di Yaman menggesa orang awam meninggalkan pelabuhan Hodeida pada Jumaat, sekali gus mencetuskan ancaman tindakan balas besar-besaran daripada kumpulan yang disokong Iran itu.
- Houthi mengancam Jeddah dan semua pelabuhan Arab Saudi di Laut Merah akan menjadi sasaran jika Hodeida diserang.
- Houthi mengisytiharkan ruang udara Arab Saudi tidak selamat dan mengancam menyerang Daerah Kewangan Riyadh.
- Peningkatan serangan peluru berpandu, dron dan serangan udara sejak gencatan senjata Yaman berakhir pada Julai.
- Houthi menuduh Arab Saudi menyerang bot awam, membunuh 19 orang, dan melaporkan pencakar langit tertinggi Riyadh rosak.
“Komando Pasukan Bersama Pakatan menggesa orang awam supaya meninggalkan kawasan pelabuhan Hodeida, demi keselamatan mereka,” menurut jurucakap pakatan, Turki al-Malki menerusi hantaran di platform X.
Sebagai tindak balas, Houthi memberi amaran bahawa Jeddah serta semua pelabuhan Arab Saudi di sepanjang pantai Laut Merah akan menjadi sasaran sekiranya Hodeida diserang.
Kumpulan itu turut memberi amaran bahawa ruang udara Arab Saudi tidak lagi selamat, selain mengancam untuk menyerang daerah kewangan Riyadh.
Amaran berkenaan mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlakunya satu lagi gelombang serangan, selepas berbulan-bulan serangan peluru berpandu dan dron serta serangan udara maut sejak gencatan senjata dalam perang saudara Yaman berakhir pada Julai lalu.
Sementara itu jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree memberi amaran kepada semua syarikat penerbangan bahawa ruang udara Arab Saudi tidak selamat kerana bakal menjadi medan operasi ketenteraan dalam tempoh terdekat, kecuali ruang udara kota suci Mekah dan Madinah.
Beliau juga menggesa orang ramai menjauhi Daerah Kewangan King Abdullah di Riyadh yang disifatkan sebagai sasaran ketenteraan, selepas kawasan itu dilaporkan diserang awal minggu ini.
Selain itu, Saree memberi amaran bahawa sebuah stesen janakuasa di Jizan, selatan Arab Saudi akan menjadi sasaran serangan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan berasingan, stesen televisyen Houthi, AlMasirah melaporkan pakatan tentera melancarkan serangan udara terhadap sebuah stesen janakuasa di Mocha.
Kedua-dua pihak terus berbalas serangan sejak gencatan senjata selama empat tahun itu berakhir.
Pada Jumaat, Houthi menuduh Arab Saudi menyerang sebuah bot awam sehingga mengorbankan 19 individu.
Sehari sebelum itu, serangan Houthi dilaporkan merosakkan bangunan pencakar langit tertinggi di Riyadh yang terletak di daerah kewangan, sekali gus menjadi serangan terbaharu terhadap Arab Saudi, negara pengeksport minyak terbesar dunia. -AFP