Pasaran kereta terpakai dijangka kekal berdaya tahan pada 2027

Aaron Kee

PETALING JAYA, 20 November – Prospek pasaran kereta terpakai di Malaysia dijangka kekal positif dan berdaya tahan pada 2027, meskipun berdepan tekanan persaingan harga susulan penawaran model kenderaan baharu yang semakin kompetitif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persaingan jenama luar dan harga kompetitif pengeluar dijangka mempengaruhi nilai pasaran kereta terpakai.
  • Pelarasan harga sedikit dijangka memberi manfaat kepada pengguna dengan meningkatkan kemampuan memiliki kenderaan.
  • Faktor harga dan kemampuan kewangan terus mempengaruhi keputusan pembelian, meningkatkan permintaan untuk kereta terpakai mampu milik.
  • Penawaran kereta elektrik terpakai dijangka meningkat, manakala CARSOME melancarkan kategori Premium untuk pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan CARSOME, Aaron Kee berkata, kemasukan jenama kenderaan dari luar negara serta persaingan harga dalam kalangan pengeluar automotif, dijangka mempengaruhi nilai pasaran kereta terpakai.

Keadaan itu berpotensi mendorong pelarasan harga, sekali gus memberi kesan positif kepada kemampuan pengguna untuk memiliki kenderaan.

“Pasaran kereta terpakai pada 2027 dijangka kekal dalam keadaan baik dan berdaya tahan secara keseluruhan.

“Namun, kita perlu mengambil kira kemasukan jenama kenderaan dari China ke pasaran. Proton dan Perodua juga semakin kompetitif dari segi penetapan harga.

“Sehubungan dengan itu, kami menjangkakan sedikit pelarasan harga dalam pasaran kereta terpakai. Perkembangan itu sebenarnya baik dan memberi manfaat kepada pengguna kerana meningkatkan kemampuan serta aksesibiliti mereka untuk memiliki kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran CARSOME Premium di sini, hari ini.

Mengulas sentimen pembeli, Aaron Kee berkata, faktor harga dan kemampuan kewangan terus menjadi antara pertimbangan pengguna dalam membuat keputusan pembelian kereta.

“Dari segi kelulusan pembiayaan, keadaannya masih baik. Namun, apabila keadaan ekonomi semakin mencabar, pengguna menjadi lebih peka terhadap harga.

“Dalam keadaan ini, segmen kereta terpakai berpotensi mendapat manfaat kerana menawarkan pilihan yang lebih mampu milik dan mudah diakses oleh pengguna,” katanya.

Beliau turut menjangkakan penawaran kenderaan elektrik (EV) dalam pasaran kereta terpakai meningkat seiring perkembangan segmen itu dalam industri automotif, sekali gus memperluas pilihan kepada pengguna.

Dalam perkembangan berkaitan, CARSOME hari ini melancarkan CARSOME Premium, kategori baharu kenderaan terpakai premium yang melengkapi penawaran sedia ada syarikat itu dalam pasaran tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.