Datuk Seri Wan Zahidi dinobatkan Tokoh Maal Hijrah Perak

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Bekas Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh pada Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Perak/ BERNAMA

IPOH, 17 Jun – Bekas Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak 1448H.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Nazrin berkenan menyampaikan anugerah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Perak di Ipoh.
  • Turut berangkat Raja Muda Raja Jaafar dan Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzulkarnain.
  • Dalam sembah ucapan, beliau menyatakan syukur dan beriltizam memperkukuh syiar Islam serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
  • Anugerah lain: Mohd Azmi (Saidina Abu Bakar), Dr Farah (Siti Khadijah), Dr Muhammad Adib (Saidina Ali), masjid dan tanah perkuburan terpilih.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1448H/2026M di Ipoh, malam tadi.

Turut berkenan berangkat pada majlis tersebut, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Datuk Seri Wan Zahidi dalam sembah ucapan Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah berkata, pengiktirafan itu merupakan satu penghormatan tertinggi sepanjang penglibatan dalam bidang dakwah di negara.

“Patik menerima anugerah ini dengan penuh rasa syukur dan beriltizam untuk terus memperkukuh usaha memartabatkan syiar Islam serta menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1448H/2026M di sini.

Sementara itu, Mohd Azmi Abdul Hamid menerima Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq (Tokoh Ar-Ridzuan).

Anugerah lain yang disampaikan ialah Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita) kepada Dr. Farah Syazwani Mohmd Tarmizi dan Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) kepada Dr. Muhammad Adib Mohamad Mazri.

Dalam pada itu, Masjid At-Taufiqiah Khairiah, Pokok Assam, Taiping dinobatkan sebagai penerima Anugerah Al-Quba’ (Pengurusan Masjid Terbaik) manakala Tanah Perkuburan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai sebagai penerima Anugerah Al-Baqi’ (Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik).

Turut menerima pengiktirafan, Khairruddin Mazli sebagai penerima Anugerah Ikon Asnaf dan Anugerah Khas An-Najah pula disampaikan kepada Osman Hamzah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.