PM hargai komitmen Uzbekistan perkukuh hubungan dengan ASEAN

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai komitmen Uzbekistan dalam memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN serta peranannya yang semakin penting di rantau Asia Tengah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan singkat namun bermakna dengan Presiden Uzbekistan untuk membincangkan pengukuhan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
  • Perbincangan meliputi perdagangan, pelaburan, pendidikan, industri halal dan pelancongan bagi memperkukuh kerjasama.
  • Menekankan kepentingan memelihara dan mengangkat khazanah tamadun Islam serta tradisi keilmuan.
  • Melihat peluang luas kerjasama tenaga, khususnya gas dan petroleum, untuk pertumbuhan ekonomi, keselamatan tenaga dan pembangunan mampan.

Datuk Seri Anwar menerusi hantaran Fcebook memaklumkan, beliau sempat mengadakan pertemuan singkat namun bermakna dengan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, ketika pesawat membuat hentian di Tashkent.

“Pertemuan ini memberi ruang untuk kami bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala yang terus berkembang dalam pelbagai bidang strategik, termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, industri halal dan pelancongan.

“Kami juga menyentuh kepentingan mempererat kerjasama dalam memelihara dan mengangkat khazanah tamadun Islam serta tradisi keilmuan yang telah melahirkan tokoh-tokoh besar dan menyumbang kepada kegemilangan peradaban manusia.

“Dalam sektor tenaga, kami melihat ruang yang luas untuk memperkukuh kerjasama, khususnya dalam industri gas dan petroleum, yang bukan sahaja berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi, malah menyumbang kepada agenda keselamatan tenaga dan pembangunan mampan,” menurut hantaran itu.

Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Persekutuan Rusia, dari 17 hingga 18 Jun ini turut menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada skuad kebangsaan negara itu sebelum meneruskan penerbangan.

“Sebelum meneruskan penerbangan ke Kazan, saya ambil peluang ucap selamat maju jaya kepada Pasukan Kebangsaan Uzbekistan yang bakal membuka tirai aksi mereka di pentas Piala Dunia 2026 menentang Colombi,” tambah kenyataan itu.

Perdana Menteri juga menzahirkan harapan agar hubungan persahabatan antara Malaysia-Uzbekistan terus diperkukuh, bukan sahaja demi manfaat ekonomi dan perdagangan, malah bagi mengangkat martabat insan, memperkasa ilmu serta menjayakan pembangunan lebih adil dan inklusif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.