
KUALA LUMPUR, 27 November – Negara anggota Kerjasama Ekonomi Subwilayah Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) menggesa supaya rundingan berkaitan pengangkutan rentas sempadan dipercepat bagi memperkukuh hubungan serantau dan merancakkan aktiviti ekonomi.
- Menteri menggalakkan rundingan lanjut bagi cadangan perkhidmatan udara Tawau-Tarakan.
- Kerjasama projek sambungan grid elektrik Brunei Darussalam-Sarawak dan Sarawak-Sabah perlu diteruskan.
- Pemantauan serta penyelarasan antara agensi perlu diperkukuh bagi mempercepat pelaksanaan projek dan meningkatkan perdagangan rentas sempadan.
Dalam kenyataan bersama bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri BIMP-EAGA Ke-29 di Bandar Seri Begawan pada 25 November, para menteri turut menggalakkan rundingan lanjut berhubung cadangan perkhidmatan udara Tawau-Tarakan, serta meneruskan kerjasama bagi projek sambungan grid elektrik Brunei Darussalam-Sarawak dan Sarawak-Sabah.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mewakili Malaysia berkata, pelaksanaan projek rentas sempadan perlu dipercepat supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk dan sektor perniagaan di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau berkata, keberkesanan kerjasama BIMP-EAGA bergantung pada keupayaan negara anggota melaksanakan projek dengan pantas dan berkesan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan tempatan dalam sektor perdagangan dan pelancongan.
Setakat April 2026, portfolio Projek Infrastruktur Keutamaan BIMP-EAGA merangkumi 265 projek bernilai AS$174.6 bilion, meningkat ketara berbanding 57 projek bernilai AS$21.4 bilion pada 2017.
Sehubungan itu, para menteri menekankan kepentingan memperkukuh pemantauan dan penyelarasan antara agensi bagi mempercepat pelaksanaan projek, serta meningkatkan perdagangan rentas sempadan.
Dalam aspek perdagangan, negara anggota turut menggalakkan penyertaan lebih meluas Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam program Pengendali Ekonomi Dibenarkan (AEO), selain mengalu-alukan kerjasama berhubung cadangan Inisiatif Kuarantin Satu Borneo.
Mesyuarat itu turut mengiktiraf pelancaran Buku Panduan Perdagangan Halal BIMP-EAGA di Malaysia bagi menyokong kerjasama rantaian bekalan halal dan memperluas akses pasaran kepada PMKS.
Kesemua usaha berkenaan menyokong pelaksanaan Wawasan BIMP-EAGA 2035 yang diterima pakai pemimpin negara anggota pada Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA di Cebu pada Mei 2026.