
KUALA LUMPUR, 27 November – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 5.0 hingga 5.5 peratus tahun ini, disokong prestasi positif sektor utama ekonomi.
- Sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga.
- Pengurusan hasil dan perbelanjaan kerajaan penting untuk mengawal defisit fiskal dan mencapai sasaran jangka sederhana.
- Permintaan produk E&E berkaitan AI menyokong eksport, manakala projek pelaburan, semikonduktor dan pelancongan menyokong pertumbuhan pada 2027.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata, sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga tahun ini.
Menurut beliau, seiring dengan pertumbuhan sektor-sektor berkenaan, pengurusan hasil dan perbelanjaan kerajaan turut memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan defisit fiskal negara.
“Defisit fiskal bergantung kepada dua faktor. Pertama, dari segi pendapatan atau hasil dan kedua, dari segi perbelanjaan. Jika perbelanjaan dapat dikawal dan tidak meningkat dengan banyak, maka defisit juga dapat dikawal.
“Kerajaan menyasarkan defisit fiskal pada kadar 3.3 peratus tahun ini dan tiga peratus dalam jangka sederhana. Maka, kerajaan akan mencari jalan bagaimana sasaran tiga peratus itu dapat dicapai dalam jangka sederhana,” katanya.
Selain itu, peningkatan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) berkaitan kecerdasan buatan (AI) turut menyokong prestasi eksport negara.
Bagi suku keempat, MIER menjangkakan pertumbuhan ekonomi berada pada kadar sederhana antara 4.5 hingga 5.0 peratus.
Memasuki 2027, ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.2 hingga 5.2 peratus, disokong pelaksanaan projek pelaburan yang telah diluluskan, permintaan berterusan terhadap semikonduktor serta aktiviti pelancongan.