Kekuatan negara bergantung kepimpinan amanah, adil – Tuanku Muhriz

Foto RTM

JEMPOL, 16 Jun – Kekuatan dan kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kepimpinan berlandaskan amanah, keadilan dan kebijaksanaan selaras tuntutan agama Islam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin mesti melaksanakan amanah dengan integriti serta mengutamakan negeri dan kesejahteraan rakyat.
  • Sirah hijrah menunjukkan kepimpinan Islam dapat menyatukan umat, memperkukuh perpaduan dan membangunkan tamadun unggul.
  • Pentadbiran berteraskan tata kelola baik menjamin kestabilan, keamanan dan kesejahteraan untuk generasi akan datang.
  • Kemajuan negeri dicapai melalui kerjasama, perpaduan dan penggemblengan tenaga serta kepakaran rakyat dalam semangat saling menghormati.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan 1448 Hijrah di Masjid Tuanku Muhriz di sini.

Justeru titah Baginda lagi, pemimpin perlu melaksanakan amanah dengan integriti serta mengutamakan negeri dan rakyat.

“Sirah hijrah Rasulullah SAW memperlihatkan bahawa kepimpinan yang berteraskan nilai-nilai Islam yang luhur berupaya menyatukan umat, memperkukuh perpaduan serta membangunkan tamadun yang unggul dan dihormati.

“Pentadbiran berteraskan prinsip tata kelola yang baik, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan negeri dapat terus dipelihara demi diwariskan kepada generasi akan datang,” titah Tuanku Muhriz.

Pada majlis berkenaan, turut berangkat sama ialah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta kedua-dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri
Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi ucapan pada majlis berkenaan berkata kemajuan negeri hanya dapat dicapai melalui kerjasama dan kesatuan seluruh rakyat.

“Sesungguhnya apabila seluruh tenaga, kepakaran, pengalaman dan kebijaksanaan rakyat digembleng dalam semangat saling menghormati dan bekerjasama, maka akan lahirlah sebuah Negeri Sembilan yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal dan ekonomi tetapi juga kukuh perpaduan, tinggi nilai akhlak, kuat institusi dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keberkatan Allah SWT,” tegas beliau.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.