
KULAI, 1 November – Insiden beberapa papan iklan LED di sekitar Kluang yang digodam sehingga memaparkan kandungan lucah menjadi peringatan kepada semua agensi kerajaan dan swasta supaya memperkukuh tahap keselamatan siber masing-masing.
- MCMC belum terima permohonan rasmi daripada MPK tetapi bersedia memberi bantuan teknikal dan nasihat jika diperlukan.
- Teo mengingatkan agensi agar tidak memandang ringan risiko serangan siber dan perlu jalankan ujian keselamatan serta audit berkala.
- MPK sedang jalankan siasatan bersama vendor untuk kenal pasti punca, laksanakan pemulihan dan perkukuh keselamatan sistem.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat ini belum menerima sebarang permohonan rasmi atau permintaan bantuan daripada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) berhubung insiden berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, MCMC sentiasa bersedia memberikan bantuan dari segi teknikal, nasihat dan kepakaran sekiranya diperlukan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memandang ringan risiko serangan siber, memandangkan masyarakat kini semakin bergantung kepada internet dan sistem berasaskan awan (cloud).
“Jangan anggap sistem kita tidak akan digodam kerana risiko itu sememangnya wujud dan sangat tinggi.
“Sepatutnya pihak majlis menjalankan ujian keselamatan siber terhadap sistem masing-masing. Namun, sekiranya memerlukan bantuan, MCMC boleh memberikan sokongan dari segi teknikal dan nasihat kerana audit keselamatan siber amat penting bagi semua agensi kerajaan mahupun syarikat swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serahan Sumbangan Deepavali DUN Bukit Permai di Kuil Arulmigu Mariamman, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial insiden beberapa sistem paparan LED di sekitar Kluang digodam pihak tidak bertanggungjawab sehingga memaparkan video berunsur lucah.
Susulan kejadian itu, MPK menerusi kenyataan pada 29 Oktober memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kerjasama vendor bagi mengenal pasti punca kejadian, melaksanakan langkah pemulihan serta memperkukuh keselamatan sistem berkenaan.