Jenazah ADUN Mata Ayer selamat dikebumikan

Foto RTM

ARAU, 1 November – Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad, 50, yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar petang semalam, selamat dikebumikan hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rambai pada pukul 11.50 pagi.
  • Solat jenazah di Masjid Nur Al-Saadah, Kampung Banggol Sena kira-kira pukul 11 pagi, diimamkan Amirul Hadafi Raseli; sekitar 500 hadir.
  • Memenangi kerusi DUN Mata Ayer pada PRU15 atas tiket Perikatan Nasional, dan pernah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rambai pada pukul 11.50 pagi.

Terdahulu, solat jenazah diadakan di Masjid Nur Al-Saadah, Kampung Banggol Sena sekitar pukul 11 pagi, diimamkan Imam I masjid berkenaan, Amirul Hadafi Raseli.

Kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, penduduk setempat dan rakan seperjuangan hadir menunaikan solat jenazah.

Turut hadir, bekas Menteri Besar Perlis yang juga ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli; ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan; ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil serta ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi DUN Mata Ayer dengan majoriti 2,021 undi.

Beliau memperoleh 4,419 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Siti Berenee Yahaya yang meraih 2,398 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Amran Kamarudin dengan 794 undi.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis ketika pentadbiran Menteri Besar, Mohd Shukri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.