
KAJANG, 1 November – Pengurusan agensi dan institusi kewangan kerajaan diingatkan supaya memastikan setiap dana yang diamanahkan diurus dengan teliti serta beramanah.
- Penyalahgunaan dana akan dikenakan tindakan undang-undang, termasuk tangkapan dan pendakwaan.
- TEKUN, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia wajib memastikan dana sampai kepada golongan sasaran tanpa ketirisan.
- Proses penyaluran bantuan dan kemudahan pinjaman perlu dipermudah tanpa membebankan peniaga kecil.
- Kerajaan menekankan budaya bertanggungjawab, integriti dan pengurusan kewangan berhemah bagi memaksimumkan manfaat dana.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan dana berkenaan.
Katanya, agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memikul tanggungjawab yang besar bagi memastikan dana sampai kepada golongan sasaran tanpa sebarang ketirisan atau penyelewengan.
Dana berkenaan juga katanya, perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya penjaja, peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah.
“Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim sedia maklum bahawa setiap dana, sama ada TEKUN, Bank Rakyat mahupun Amanah Ikhtiar, perlu diuruskan dengan penuh tanggungjawab kerana ia merupakan wang amanah.
“Sebarang pelanggaran atau salah guna dana akan dikenakan tindakan undang-undang, termasuk tangkapan dan pendakwaan. Penguatkuasaan tegas seperti ini penting bagi memastikan negara terus terpelihara,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di sini.
Beliau berkata, peningkatan peruntukan kerajaan untuk pelbagai program kebajikan dan pembangunan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya ketirisan, rasuah dan salah guna dana berjaya dibendung.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu memastikan proses penyaluran bantuan dan kemudahan pinjaman kepada peniaga kecil dipermudah tanpa membebankan mereka dengan prosedur yang rumit.
Tambahnya, usaha membantu rakyat tidak seharusnya terhad kepada pemberian dana sahaja, sebaliknya perlu disertai budaya bertanggungjawab, berintegriti dan pengurusan kewangan yang berhemah.
“Dana sememangnya penting, namun aspek pembentukan budaya turut tidak boleh diketepikan, khususnya dalam memupuk sikap berjimat cermat dan bertanggungjawab, memastikan keuntungan serta memberi perhatian terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Anwar memaklumkan, kerajaan MADANI turut komited dengan mengembalikan bantuan kepada sekolah pondok di Kelantan sejak 2022, termasuk pemberian saguhati kepada guru agama dan pembaikan bangunan yang daif.