Pertumbuhan KDNK 5.5 peratus, prestasi memberangsangkan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 November – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 disifatkan sebagai prestasi memberangsangkan, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global yang masih berlarutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sektor pembuatan dan perkhidmatan terus menyumbang utama kepada pertumbuhan, dengan pembuatan merekodkan prestasi lebih baik daripada jangkaan.
  • Pelaburan swasta meningkat melebihi sembilan peratus, mencerminkan keyakinan pelabur walaupun ketidaktentuan geopolitik global.
  • Kerajaan optimis sasaran pertumbuhan dapat dicapai; penekanan kepada memastikan manfaat sampai kepada rakyat dan isu ekonomi diberi perhatian.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pencapaian itu didorong prestasi sektor pembuatan dan perkhidmatan yang terus menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada masa yang sama, angka pertumbuhan itu merupakan satu pencapaian yang meyakinkan. Namun, kita perlu terus mencari jalan supaya pertumbuhan berkenaan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat, selain memastikan isu-isu lain berkaitan ekonomi terus diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Urologi Malaysia Kali Ke-35 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa sektor turut menunjukkan prestasi lebih baik daripada jangkaan, khususnya sektor pembuatan yang merekodkan pertumbuhan 7.7 peratus berbanding 7.3 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam pada itu, sektor pertanian turut menunjukkan perkembangan positif, khususnya dari segi pengeluaran hasil kelapa sawit, yang turut dipengaruhi faktor cuaca dalam tempoh berkenaan.

“Dari segi pelaburan swasta, prestasinya menunjukkan peningkatan yang baik berbanding suku kedua apabila mencatatkan pertumbuhan melebihi sembilan peratus pada suku ketiga.

“Ini menunjukkan keyakinan sektor pelaburan swasta terhadap ekonomi negara, meskipun kita masih berdepan ketidaktentuan geopolitik global,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran pertumbuhan ekonomi negara bagi 2026, beliau optimis unjuran antara 4.7 hingga 5.2 peratus mampu dicapai.

“Kita perlu memastikan momentum dan komitmen bagi tempoh tiga bulan terakhir tahun ini kekal baik. Ekonomi negara berpotensi mencatatkan pertumbuhan melebihi lima peratus tahun ini.

“Sekiranya sasaran itu dicapai, ia sekali gus membolehkan negara mengekalkan pertumbuhan melebihi lima peratus untuk tiga tahun berturut-turut, selain memberi momentum positif menjelang 2027,” jelasnya.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, didorong eksport yang kukuh, khususnya produk berkaitan teknologi, selain permintaan domestik yang terus berkembang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.