
NEW DELHI, 21 November –Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala lebih 180 lagi dimasukkan ke hospital selepas dipercayai meminum minuman keras yang tercemar di negeri Manipur, timur laut India.
- Ketua Menteri mengarahkan siasatan dan jaminan pihak bertanggungjawab akan ditangkap serta diambil tindakan undang-undang.
- Kematian akibat minuman keras tidak sah sering berlaku, terutamanya minuman murah yang dijual di luar saluran kawal selia.
- Minuman tercemar mungkin mengandungi metanol, boleh menyebabkan kebutaan, kerosakan hati dan kematian bergantung kepekatan.
Ketua Menteri Manipur, Yumnam Khemchand Singh berkata, kesemua mangsa mengalami gejala kesihatan selepas mengambil minuman keras berkenaan.
Beliau mengarahkan siasatan dijalankan berhubung kejadian itu serta memberi jaminan bahawa pihak yang bertanggungjawab akan ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang.
Kematian akibat pengambilan minuman keras tidak sah atau tercemar bukan perkara baharu di India, terutama membabitkan minuman murah yang dijual di luar saluran kawal selia.
Minuman berkenaan berisiko mengandungi metanol, iaitu bahan kimia industri yang sangat beracun.
Pada Mei lalu, sekurang-kurangnya 15 orang maut selepas meminum minuman keras tidak sah yang dicemari metanol di Pune dan Pimpri-Chinchwad, negeri Maharashtra.
Sementara itu, pada Ogos lalu, 13 orang dilaporkan maut manakala lebih 60 lagi terjejas akibat pengambilan minuman keras tercemar metanol di daerah Bhavnagar, Gujarat.
Pengambilan metanol boleh menyebabkan kebutaan, kerosakan hati dan kematian, bergantung kepada kepekatan bahan beracun yang ditelan. – AFP