
KIEV, 21 November – Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara Ukraine, Kiev terjejas pada Jumaat, susulan serangan peluru berpandu Rusia sepanjang malam.
- Beberapa jambatan utama merentasi Sungai Dnipro, termasuk Podolsko-Voskresensky, Darnitsky dan Southern, dilaporkan rosak.
- Sekatan lalu lintas dikenakan antara kedua-dua bahagian bandar; beberapa laluan tambahan ditutup selepas serangan terdahulu.
- Beberapa laluan bas dilencongkan dan perkhidmatan bas elektrik digantung sementara akibat gangguan bekalan elektrik.
- Infrastruktur tenaga rosak menyebabkan gangguan elektrik; penduduk dinasihatkan elakkan perjalanan tidak penting, metro digunakan sebagai tempat perlindungan.
Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko, berkata serangan itu merosakkan beberapa jambatan utama merentasi Sungai Dnipro, iaitu Podolsko-Voskresensky, Darnitsky dan Southern.
Kejadian itu menyebabkan sekatan lalu lintas antara kedua-dua bahagian bandar berkenaan.
Awal minggu ini, serangan Rusia turut merosakkan jambatan Northern dan Southern, selain menyebabkan sekatan lalu lintas di beberapa laluan lain termasuk Jambatan Paton.
Beberapa laluan bas turut dilencongkan, manakala perkhidmatan bas elektrik digantung sementara di beberapa kawasan akibat masalah bekalan elektrik.
Serangan itu juga merosakkan infrastruktur tenaga sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan ibu negara.
Klitschko turut menasihatkan penduduk supaya mengelakkan perjalanan yang tidak penting menggunakan kenderaan persendirian.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan serangan terhadap jambatan, jalan raya dan kereta api di Kiev, dengan mendakwa kemudahan itu digunakan untuk menyalurkan senjata serta peralatan ketenteraan kepada tentera Ukraine.
Rangkaian metro Kiev turut dijadikan tempat perlindungan penduduk ketika amaran serangan udara Rusia.-VIORY