
DOHA, 17 Jun– Qatar yakin memorandum persefahaman (MoU) yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan membuka semula Selat Hormuz kepada pelayaran seperti biasa.
- Perkembangan penting untuk memastikan bekalan tenaga disalurkan semula ke pasaran global.
- Pembukaan laluan mengurangkan tekanan terhadap pasaran tenaga dan bekalan komoditi dunia.
- Perjanjian membuka ruang perbincangan lanjut mengenai program nuklear Iran dan isu keselamatan serantau.
- Pegawai AS dan Iran dijangka memulakan rundingan terperinci di Switzerland pada 19 Jun untuk membincangkan pelaksanaan perjanjian.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari berkata, perkembangan itu penting bagi memastikan bekalan tenaga dapat disalurkan semula ke pasaran global.
Menurut beliau, pembukaan semula laluan berkenaan turut membantu mengurangkan tekanan terhadap pasaran tenaga dan bekalan komoditi dunia.
“Kami yakin MoU itu akan membolehkan Selat Hormuz dibuka semula untuk pelayaran seperti biasa.
Ia sekali gus membolehkan negara seperti Qatar kembali membekalkan tenaga kepada pasaran dunia,” katanya pada sidang media mingguan di Doha.
Majed memaklumkan, Qatar juga optimis perjanjian tersebut dapat membuka ruang kepada perbincangan lanjut mengenai program nuklear Iran dan isu keselamatan serantau.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan Qatar terlibat dalam usaha pengantaraan yang diketuai Pakistan bagi membantu meredakan konflik antara kedua-dua negara.
Qatar turut dijadual menyertai rundingan susulan di Geneva bersama beberapa negara serantau dan pihak yang terlibat dalam konflik berkenaan.
Pegawai AS dan Iran dijangka memulakan rundingan terperinci di Switzerland pada 19 Jun bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian tersebut. -REUTERS