Trump tegaskan Iran tidak dibenar miliki senjata nuklear

Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat / REUTERS

EVIAN-LES-BAINS, 16 Jun– Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan perjanjian yang dicapai dengan Iran menetapkan dengan jelas bahawa negara itu tidak dibenarkan memiliki senjata nuklear.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian menetapkan Iran tidak dibenarkan membangunkan, membeli atau memperoleh senjata nuklear.
  • Trump memberi amaran Iran akan berdepan tindakan tegas sekiranya melanggar syarat perjanjian.
  • Pegawai AS dan Iran dijadual mengadakan rundingan lanjut di Switzerland bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian.

Menurut beliau, perkara itu merupakan syarat paling penting dalam memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua pihak baru-baru ini.

Trump berkata, Iran tidak akan dibenarkan membangunkan, membeli atau memperoleh senjata nuklear dalam apa jua bentuk.

“Iran tidak akan memiliki senjata nuklear. Itulah perkara paling penting dalam perjanjian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertemu Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani di luar Sidang Kemuncak G7 di Perancis.

Trump turut memberi amaran bahawa Iran akan berdepan tindakan tegas sekiranya melanggar syarat berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan perjanjian tersebut sebagai adil dan mampu membuka ruang kepada hubungan yang lebih baik antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Sheikh Tamim menyambut baik perkembangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah meningkatkan kestabilan di Asia Barat.

Menurut beliau, masih banyak perkara yang perlu dirundingkan, namun momentum semasa memberi harapan kepada usaha damai yang lebih menyeluruh.

Pegawai AS dan Iran dijadual mengadakan rundingan lanjut di Switzerland pada 19 Jun bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian tersebut. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.