30 maut dalam serangan udara tentera Myanmar

Foto AFP

DEMOSO, 29 November – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam tiga serangan udara tentera Myanmar, semalam, termasuk di sebuah lokasi majlis perkahwinan di timur laut negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan di Moe Bye mengorbankan 21 orang termasuk lima kanak-kanak, manakala lebih 40 lagi cedera.
  • Bom kedua digugurkan selepas pasukan penyelamat tiba di lokasi majlis perkahwinan.
  • Serangan udara di pasar Mrauk-U meragut sembilan nyawa.
  • Konflik bersenjata Myanmar berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

Serangan di daerah Moe Bye, berhampiran sempadan negeri Shan dan Karenni, mengorbankan 21 orang termasuk lima kanak-kanak, manakala lebih 40 yang lain cedera.

Ketua Yayasan Nway Oo Yaung Chi, sebuah pertubuhan yang membantu penduduk kehilangan tempat tinggal akibat konflik, mengesahkan angka korban berkenaan kepada AFP.

Menurutnya, sebuah bom kedua turut digugurkan selepas pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian.

Seorang saksi berkata, beliau terdengar bunyi pesawat sebelum letupan berlaku di kawasan majlis perkahwinan pasangan yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik.

“Saya menemukan 17 mayat dan ramai yang cedera. Saya terkejut dan tidak tahu siapa yang perlu diselamatkan terlebih dahulu.

“Masih ada beberapa orang yang hilang, termasuk anak saudara saya. Saya masih belum dapat mencarinya,” katanya.

Sementara itu, satu lagi serangan udara di sebuah pasar di Mrauk-U, negeri Rakhine, meragut sembilan nyawa.

Ketua sebuah pertubuhan pengurusan pengebumian tempatan, Hla Maung Oo mengesahkan jumlah kematian itu, manakala saksi melaporkan serangan udara kedua berlaku di kawasan sama lewat Sabtu.

Seorang penduduk yang kehilangan tempat tinggal, Hla Than Aung, 62 tahun, berkata, anak perempuannya berusia 17 tahun meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan daripada runtuhan bangunan.

Kejadian itu menyusul serangan terhadap sebuah sekolah dan biara di wilayah Magway pada Khamis lalu.

Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG)mendakwa serangan itu mengorbankan 29 orang, termasuk 20 orang awam dan sembilan anggota kumpulan penentang tentera.

Konflik bersenjata di Myanmar berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.

Menurut kumpulan pemantau konflik ACLED, lebih 100,000 orang terbunuh sepanjang perang saudara itu.

Serangan terbaharu turut berlaku selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 November lalu memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya ketika operasi ketenteraan di negeri Rakhine pada 2017. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.