
DHAKA, 29 November – Seorang maut dalam pertempuran antara kumpulan penyokong parti politik di Bangladesh, ketika ketegangan semakin memuncak menjelang kepulangan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang dijadualkan bulan depan.
- Kedua-dua kumpulan bertelagah saling membaling bom petrol di daerah Shariatpur.
- Beberapa kedai, gerai tepi jalan dan motosikal dibakar berhampiran laluan utama Jambatan Padma.
- Di Gopalganj, penyokong Liga Awami bertempur dengan aktivis Parti Nasionalis Bangladesh yang memerintah negara itu.
- Ratusan anggota tambahan pasukan separa tentera dikerahkan ke Gopalganj, sementara kebanyakan premis perniagaan ditutup.
Mangsa, Ibrahim Sepahi, yang dipercayai aktivis Liga Awami, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas tercetusnya keganasan di daerah Shariatpur, kira-kira 80 kilometer dari Gopalganj.
Pegawai kanan polis, Md Zakaria Rahman berkata, kedua-dua kumpulan yang bertelagah saling membaling bom petrol dalam pertempuran berkenaan.
Menurut saksi, beberapa kedai, gerai tepi jalan dan motosikal turut dibakar dalam kejadian berhampiran laluan utama Jambatan Padma yang menghubungkan barat daya Bangladesh dengan ibu negara, Dhaka.
Sementara itu, di Gopalganj, kampung halaman dan kubu kuat politik Hasina, penyokong Liga Awami bertempur dengan aktivis Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang kini memerintah negara itu.
Sebahagian penunjuk perasaan dilihat membawa parang, kayu dan senjata lain ketika menyertai perhimpunan di jalan raya.
Pergolakan itu berlaku susulan seruan Liga Awami untuk mengadakan mogok selama dua hari di seluruh negara bagi membantah tindakan yang disifatkan parti berkenaan sebagai pembalasan politik.
Seorang anggota veteran Liga Awami, Hamid Gazi berkata, penyokong parti itu menuntut kerajaan pimpinan BNP menarik balik larangan terhadap kegiatan politik mereka.
“Kira-kira 97 peratus penduduk Gopalganj merupakan penyokong Liga Awami, namun kami mengundi BNP. Bagaimanapun, BNP tidak pernah berusaha untuk berdamai dengan kami,” katanya.
Susulan ketegangan itu, ratusan anggota tambahan pasukan separa tentera dikerahkan ke Gopalganj bagi mengawal keadaan, manakala kebanyakan kedai dan premis perniagaan ditutup.
Hasina, 79 tahun, sebelum ini berikrar untuk kembali ke Bangladesh pada Disember ini selepas hidup dalam buangan di India sejak digulingkan menerusi kebangkitan rakyat yang diterajui pelajar pada 2024. – AFP