PMKS perlu diperkasa perluas peluang dalam ekonomi hijau, kitaran

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR, 29 November –Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu terus diperkasa menerusi penerapan amalan kemampanan bagi memperluas peluang perniagaan serta akses pasaran, khususnya dalam sektor ekonomi hijau dan ekonomi kitaran, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan membimbing PMKS yang berkeupayaan dalam ekonomi hijau dan kitaran untuk membuka peluang di pasaran lebih luas.
  • Rangka Kerja Ekonomi Kitaran Malaysia dijangka dilancarkan pada Disember ini.
  • Pelan Strategik ESG Kebangsaan disasarkan dilancarkan pada suku pertama 2027.
  • Pelan itu membantu PMKS menerapkan amalan ESG secara berperingkat melalui latihan dan bimbingan syarikat peneraju rantaian bekalan.

Beliau berkata kepentingan memperkukuh keupayaan PMKS turut didorong sumbangan sektor itu sebanyak 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, selain prospek pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka melepasi lima peratus tahun ini.

“Apabila ada segmen dalam PMKS yang menunjukkan keupayaan terhadap ekonomi hijau dan ekonomi kitaran, kita seharusnya memandu dan membuka jalan yang sebaik boleh.

Ini supaya mereka mendapat peluang yang terbaik, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Sustainaboleh! 2026 di sini, hari ini.

Mengulas hala tuju kerajaan dalam memperkukuh agenda berkenaan, Akmal Nasrullah berkata Kementerian Ekonomi berada pada peringkat akhir penyediaan Rangka Kerja Ekonomi Kitaran Malaysia yang dirancang dilancarkan pada Disember ini.

Beliau berkata kementerian turut memuktamadkan Pelan Strategik ESG Kebangsaan (NESP), dengan pelancarannya disasarkan pada suku pertama 2027.

Antara tumpuan pelan itu ialah membantu perusahaan kecil dan sederhana menerapkan amalan ESG secara berperingkat menerusi latihan serta bimbingan daripada syarikat peneraju dalam rantaian bekalan.

Sustainaboleh! 2026 yang berlangsung dari 27 hingga 29 November menghimpunkan hampir 50 syarikat dan vendor. Festival anjuran The Green Factory (One-Tech (M) Sdn Bhd) dengan kerjasama Veg-Hub itu turut menyediakan platform kepada pengusaha tempatan untuk memperkenalkan produk, mendapatkan maklum balas pengguna serta memahami kehendak pasaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.