
LANGKAWI, 29 November- Ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) di Langkawi, Kedah, hari ini mendapat reaksi positif orang ramai yang menyifatkan sistem itu berpotensi membantu mereka bersiap sedia menghadapi bencana atau kecemasan.
- Bunyi amaran yang kuat menarik perhatian pengguna dan mendorong mereka menyemak maklumat melalui telefon pintar.
- MySiren membantu orang ramai membuat persediaan awal menghadapi bencana, termasuk menyimpan dokumen penting sebelum banjir.
- Sistem menggunakan teknologi Cell Broadcast untuk menyalurkan amaran terus ke telefon tanpa aplikasi khusus atau pendaftaran.
Tinjauan RTM mendapati bunyi amaran yang kuat dan mengejutkan berjaya menarik perhatian pengguna, sekali gus membolehkan mereka menyemak maklumat yang disampaikan melalui telefon pintar.
Usahawan, Syazwi Yadiy berkata MySiren penting untuk memastikan masyarakat lebih berwaspada sekiranya berlaku bencana alam.
“Pada saya, MySiren penting untuk memberi amaran awal kepada rakyat supaya lebih berwaspada sekiranya berlaku bencana alam. Dengan adanya amaran ini, rakyat dapat membuat persediaan awal, termasuk menyimpan dokumen penting sebelum banjir berlaku,” katanya.
Seorang lagi usahawan, Syazuani Sazali berkata beliau menerima notifikasi amaran itu pada 10.10 pagi dan menyifatkan sistem berkenaan memudahkan pengguna mendapatkan maklumat kecemasan.
“Sistem ini sangat bagus kerana dapat memberi amaran kepada pengguna telefon dengan mudah. Notifikasi yang diterima membolehkan kita membuat persediaan lebih awal sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) bagi menyalurkan amaran kecemasan terus ke telefon bimbit pengguna di kawasan terlibat tanpa memerlukan aplikasi khusus atau pendaftaran.
Pelaksanaan sistem itu diharap dapat memperkukuh penyampaian maklumat keselamatan serta membantu melindungi nyawa ketika berlaku bencana atau kecemasan.