Jawatankuasa Integriti FAM perlu laksana tugas secara telus, adil

Foto FB FAM

KUALA LUMPUR, 29 November – Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melaksanakan tanggungjawab secara telus dan adil, selain memastikan setiap aspek berkaitan integriti diberi perhatian sewajarnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatankuasa Integriti FAM perlu melaksanakan tugas dengan telus dan adil.
  • Setiap aspek integriti perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memelihara kredibiliti dan imej bola sepak negara.
  • Mesyuarat memberi tumpuan kepada penyelarasan hala tuju, peranan dan tanggungjawab jawatankuasa selaras dengan Statut FAM.

Pengerusinya, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pendekatan itu penting bagi memelihara kredibiliti serta imej bola sepak negara.

Menurut hantaran FAM di Facebook, perkara itu ditekankan Tan Sri Ayob pada Mesyuarat Jawatankuasa Integriti FAM Kali Pertama bagi penggal 2025 hingga 2029 di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

“Mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada penyelarasan hala tuju, peranan dan tanggungjawab jawatankuasa selaras peruntukan Statut FAM,” menurut hantaran itu.

Pada mesyuarat sama, Tan Sri Ayob Khan merakamkan penghargaan kepada FAM atas kepercayaan diberikan kepada beliau dan anggota jawatankuasa yang baharu dilantik.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan menyampaikan ucapan tahniah serta mengalu-alukan pelantikan anggota jawatankuasa bagi penggal berkenaan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Integriti FAM terdahulu yang dipengerusikan Tan Sri Aseh Che Mat atas sumbangan dan khidmat sepanjang tempoh pelantikan mereka.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, bersama anggota jawatankuasa Datuk Basri Othman dan Mohd Mahidisham Ishak serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.