Gol sendiri Frimpong sekat hajat Liverpool

Foto AFP

LIVERPOOL, 30 November – Liverpool terlepas peluang untuk merampas kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas diikat Everton 1-1 dalam aksi derbi Merseyside di Anfield, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jaringan Dominik Szoboszlai pada minit kelima meletakkan Liverpool di hadapan hasil umpanan Florian Wirtz.
  • Jeremie Frimpong tertolak masuk sepakan percuma Kieran Dewsbury-Hall ke gawang sendiri, sekali gus menyekat hajat Liverpool.
  • Liverpool gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik, termasuk tandukan Virgil van Dijk dan peluang keemasan Alexander Isak.

Jaringan sendiri Jeremie Frimpong menjadi punca The Reds gagal mengutip tiga mata penuh selepas Dominik Szoboszlai terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di hadapan.

Keputusan itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga keempat, enam mata di belakang pendahulu, Arsenal yang berpeluang melebarkan jurang kepada sembilan mata jika menewaskan Manchester City dalam satu lagi perlawanan hari ini.

Szoboszlai membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi rembatan kencang yang menerjah gawang hasil umpanan Florian Wirtz.

Bagaimanapun, Everton kembali menghidupkan peluang apabila Frimpong tertolak masuk sepakan percuma Kieran Dewsbury-Hall ke gawang sendiri ketika diasak Jake O’Brien.

Liverpool berusaha mendapatkan gol kemenangan sebelum rehat, namun beberapa peluang terbaik gagal disudahkan.

Wirtz hampir menambah jaringan menerusi serangan balas pantas, namun rembatan pemain Jerman itu tepat ke arah penjaga gol Everton, Jordan Pickford.

Frimpong turut berpeluang menebus kesilapannya menerusi hantaran lintang, namun Alexander Isak gagal menyempurnakan peluang tersebut.

Liverpool terus mengasak pada babak kedua, namun gagal memecah kebuntuan apabila tandukan Virgil van Dijk tersasar sebelum Isak sekali lagi mensia-siakan peluang keemasan pada lima minit terakhir perlawanan.

Keputusan seri itu menyaksikan Everton membawa pulang satu mata, manakala Liverpool gagal meneruskan momentum selepas mencatatkan empat kemenangan dalam lima aksi liga terdahulu. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.