MySiren: Nota hasil ujian dikemukakan kepada Jemaah Menteri

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 29 November – Nota Jemaah Menteri berhubung hasil ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) akan disediakan selepas maklumat menyeluruh berkaitan pelaksanaan ujian itu diperoleh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nota Jemaah Menteri mengenai hasil ujian MySiren akan disediakan selepas maklumat pelaksanaan diperoleh secara menyeluruh.
  • Laporan akan meneliti isu berbangkit, termasuk mengenal pasti kawasan yang berkemungkinan mengalami masalah titik buta.
  • Maklumat kecemasan boleh disampaikan melalui kaedah alternatif seperti siren JPS, SMS NADMA dan unit siar raya Info on Wheels.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, laporan berkenaan akan mengambil kira beberapa isu berbangkit, termasuk mengenal pasti lokasi yang berkemungkinan mengalami masalah titik buta.

“Ujian MySiren baru sahaja berjalan selama tiga jam dan kita akan mendapatkan maklumat secara menyeluruh. Saya akan menyediakan nota Jemaah Menteri untuk memaklumkan hasil ujian yang dilaksanakan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan sesi penutupan Bengkel Antara Agensi Mengenai Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang Dalam Talian, di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Fahmi berkata, terdapat beberapa kaedah alternatif yang boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat kecemasan kepada orang awam dan tidak hanya bergantung kepada sistem amaran awal.

“Ada beberapa sistem lain. Sebagai contoh, sekiranya berlaku kejadian membabitkan sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempunyai siren untuk menyampaikan amaran. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga boleh menghantar SMS kepada orang awam.

“Jadi, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Jabatan Penerangan turut mempunyai kemudahan Info on Wheels menerusi unit siar raya yang boleh digerakkan ke kawasan berpenduduk bagi menyampaikan maklumat sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik sebagai contoh dan menara telekomunikasi yang tidak berfungsi,” katanya.

Terdahulu, MySiren berjaya menjalani ujian hari ini dengan amaran kecemasan yang diterima hampir serentak pada telefon pintar di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.