
TAWAU, 29 November -Program Jualan Rahmah MADANI akan terus diperkasa bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
- Peruntukan Jualan Rahmah MADANI akan ditambah pada 2027 susulan sambutan menggalakkan.
- Penambahan peruntukan membolehkan program diperluas dan manfaatnya dinikmati lebih ramai golongan memerlukan.
- Sekurang-kurangnya tiga siri jualan akan diadakan setiap bulan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.
- Program menyasarkan 30,000 siri Jualan Rahmah MADANI setahun di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sambutan menggalakkan terhadap program berkenaan mendorong Perdana Menteri bersetuju menambah peruntukan bagi pelaksanaannya pada tahun 2027.
Penambahan peruntukan itu sekali gus membolehkan program berkenaan diperluas, seterusnya memberi manfaat kepada lebih ramai golongan memerlukan di seluruh negara.
“Alhamdulillah, susulan sambutan yang amat menggalakkan, Perdana Menteri bersetuju menambah peruntukan bagi tahun 2027. Kita amat menghargai pengiktirafan tersebut dan, insya-Allah, akan terus melaksanakan program ini bagi memastikan akses yang lebih luas dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya kepada media Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah Madani di Kampung Budaya Pasir Putih Tawau.
Menurut beliau, pelaksanaan program itu menetapkan sekurang-kurangnya tiga siri Jualan Rahmah MADANI setiap bulan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, dengan sasaran 30,000 siri setahun di seluruh negara.
Sementara itu, seramai 43,339 penerima di Parlimen Kalabakan menerima manfaat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Selain 5,263 ketua isi rumah menerima manfaat menerusi program Sentuhan Kasih Rakyat.