
KUALA TERENGGANU, 29 November- Lebih setengah juta ringgit nilai peralatan pemprosesan dan hasil kayu dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan Op Khazanah ke atas sebuah kilang kayu di Tepoh, di sini, hari ini.
- Dua lelaki tempatan berusia 60 dan 62 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan lesen atau dokumen operasi kilang serta kayu.
- Rampasan merangkumi mesin pemprosesan, forklift, 1,000 batang kayu getah, 1,441 batang kayu siap dan kayu sisa.
- Kedua-dua lelaki bersama barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu untuk tindakan lanjut.
- Kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan Enakmen Industri Berasas Kayu 1986.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata operasi bersama Pejabat Perhutanan Negeri Terengganu itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan.
Beliau berkata, serbuan dilakukan anggota Risik Batalion 9 PGA kira-kira 10.30 pagi di sebuah premis di Batu 10, Jalan Kelantan, Bukit Berangan di sini.
Pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan gagal mengemukakan lesen atau dokumen berkaitan operasi kilang serta kayu yang terdapat di premis itu.
“Antara peralatan yang dirampas ialah dua mesin band saw, enam bilah cross cut, sebuah forklift, sebuah mesin pengasah cross cut, dua kompresor angin dan dua mesin pemotong kayu.
“Turut dirampas 1,000 batang kayu getah, 1,441 batang kayu siap, 25 batang kayu belah serta 27 longgokan kayu sisa,” katanya dalam kenyataan.
Datuk Ahmad berkata, kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM516,080.
Sementara itu, kedua-dua lelaki berusia 60 dan 62 tahun bersama barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Seksyen 8(1) Enakmen Industri Berasas Kayu 1986.
“Kejayaan serbuan berkenaan hasil risikan dan intipan Cawangan Risik Batalion 9 PGA.
“Pemantauan dan pemeriksaan akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti pembalakan haram serta pencerobohan hutan simpan, khususnya di Terengganu,” katanya.