
BAGO, MYANMAR, 29 November – Ratusan golongan nasionalis Myanmar mengadakan demonstrasi bagi membantah keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan negara itu melakukan genosid terhadap etnik minoriti Rohingya.
- Sami Wirathu mendakwa keputusan ICJ mencampuri kedaulatan Myanmar dan tidak adil terhadap negara kecil.
- Aktivis Amat Dain mempersoalkan keputusan itu kerana didakwa memberi gambaran negatif terhadap agama Buddha.
- Presiden Min Aung Hlaing menyifatkan keputusan ICJ tidak adil dan berkata kerajaan tidak akan mematuhi aspek tertentu.
Penunjuk perasaan yang diketuai sami Buddha berarak sambil mengibarkan bendera Myanmar dan bendera agama Buddha, selain membawa sepanduk yang menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai tidak adil.
Antara yang menyertai demonstrasi ialah sami Wirathu, yang mendakwa keputusan ICJ mencampuri urusan kedaulatan Myanmar.
Beliau turut menuduh mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu bertindak tidak adil terhadap negara kecil.
“Adakah kita ini hamba ICJ? Tidakkah kita mempunyai pemerintah sendiri, pemimpin sendiri dan negara sendiri?” katanya ketika berucap pada perhimpunan berhampiran Pagoda Shwe Mawdaw, di sini.
Seorang lagi aktivis, Amat Dain turut mempersoalkan keputusan berkenaan yang menurutnya memberi gambaran negatif terhadap agama Buddha yang dianuti majoriti penduduk Myanmar.
Pada 19 November lalu, ICJ memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya yang majoritinya beragama Islam ketika operasi ketenteraan di negeri Rakhine pada 2017.
Keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan pasukan keselamatan Myanmar yang melakukan pembunuhan, keganasan seksual dan kemusnahan harta benda orang awam secara sistematik.
Keganasan berkenaan memaksa lebih 700,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, manakala lebih sejuta pelarian komuniti itu masih berada di negara jiran berkenaan.
ICJ turut mengarahkan Myanmar mengambil tindakan terhadap individu yang disyaki melakukan genosid, membayar pampasan kepada mangsa serta memudahkan kepulangan pelarian secara selamat.
Bagaimanapun, Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil dan menyatakan kerajaannya tidak akan mematuhi aspek tertentu keputusan mahkamah yang dianggap tidak wajar.
Myanmar sejak awal menafikan melakukan genosid terhadap Rohingya dengan mendakwa operasi ketenteraannya pada 2017 bertujuan memerangi kumpulan pemberontak bersenjata. – AFP