
SHAH ALAM, 9 Mei – Pertumbuhan industri automotif negara dijangka kekal positif pada separuh kedua tahun ini, walaupun pasaran global berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.
- Permintaan kukuh terhadap kenderaan elektrik mendorong peningkatan sumbangan EV, dijangka naik dari 6.7 peratus ke sekitar lapan peratus.
- Segmen komersial kekal stabil walaupun permintaan kenderaan diesel untuk kegunaan persendirian dan gaya hidup menunjukkan penurunan.
- Sahabat Auto Fest 2026 menyasarkan 1,300 tempahan; e.MAS mendorong kebanyakan tempahan dan mencatat 340 pada hari pertama.
Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON), Akkbar Danial berkata, prospek itu didorong oleh permintaan kukuh khususnya terhadap kenderaan elektrik (EV) susulan peningkatan kos bahan api akibat krisis bekalan tenaga global.
“EV menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Jika dibandingkan dengan tahun lalu yang mencatatkan sekitar enam peratus, tahun ini kita melihat lonjakan kepada 6.7 peratus dan ia dijangka berkembang lagi ke arah lapan peratus daripada keseluruhan sumbangan EV,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran EON dan Sahabat Auto Fest 2026, semalam.
Jelas beliau, segmen komersial dilihat masih kekal stabil meskipun permintaan terhadap kenderaan diesel, khususnya bagi kegunaan persendirian dan gaya hidup, menunjukkan penurunan.
Sementara itu, beliau berkata Sahabat Auto Fest 2026 yang berlangsung selama tiga hari sehingga 10 Mei ini, menyasarkan sebanyak 1,300 tempahan kenderaan berbanding 1,100 tempahan yang direkodkan pada acara sama tahun lalu.
Tambah Akkbar, setakat hari pertama penganjuran, sebanyak 340 tempahan telah berjaya direkodkan dengan kebanyakannya disumbangkan oleh permintaan terhadap jenama kenderaan nasional iaitu Proton, terutamanya bagi model e.MAS.
Mengulas mengenai penamatan pengecualian cukai bagi EV import siap sepenuhnya (CBU), beliau berkata EON akan terus mengikut hala tuju yang ditetapkan pengeluar peralatan asal (OEM).
“Sebelum ini kita ada Audi Q8 e-tron dan juga Smart. Sekarang ini dengan adanya e.MAS 5 dan e.MAS 7, ia telah melonjakkan dengan sangat tinggi permintaan terhadap indikator EV di bawah EON itu sendiri,” katanya.