Pasaran getah ditutup tinggi didorong kenaikan harga minyak mentah

Harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 2.5 sen kepada 882.50 sen sekilogram / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Pasaran getah ditutup tinggi pada Jumaat, didorong harga penanda aras minyak mentah yang lebih kukuh serta kebimbangan terhadap kekurangan bekalan susulan gangguan cuaca hujan di negara pengeluar utama, kata peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga minyak mentah Brent naik 0.19 peratus kepada AS$100.19 setong.
  • Niaga hadapan getah Shanghai meningkat, menyokong sentimen dan keyakinan eksport China menjelang Sidang Kemuncak ASEAN.
  • Kenaikan terhad oleh data ekonomi AS yang bercampur-campur, ketidaktentuan geopolitik Asia Barat, dan pendirian berhati-hati dasar perdagangan AS.
  • Harga disokong oleh kebimbangan bekalan selepas ribut dan banjir mengancam tanaman Thailand; GMM20 dan lateks pukal mencatat kenaikan.

Ketika laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent meningkat 0.19 peratus kepada AS$100.19 setong.

Peniaga berkata sentimen pasaran turut didorong oleh kenaikan yang dialami niaga hadapan getah Shanghai serta keyakinan terhadap prospek eksport China, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.

“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bercampur-campur, ketidaktentuan geopolitik berterusan di Asia Barat, serta pendirian berhati-hati terhadap dasar perdagangan dan tarif AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meneruskan kenaikan pada Jumaat dan berada di landasan untuk merekodkan kenaikan mingguan ketiga berturut-turut, disokong oleh harga fizikal Thailand yang lebih kukuh ekoran kebimbangan bekalan berkaitan cuaca.

Pada masa sama, harga getah dijangka terus disokong oleh kemungkinan kekurangan bekalan berikutan ribut dan banjir mengancam tanaman di Thailand sebagai pengeluar utama, katanya.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 2.5 sen kepada 882.50 sen sekilogram, iaitu paras tertinggi sejak 26 Mac 2025, manakala lateks pukal naik enam sen kepada 756 sen sekilogram. – BERNAMA