
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, didorong oleh kekuatan permintaan domestik serta aktiviti pelaburan yang masih aktif dalam pelbagai sektor strategik.
- Penggunaan domestik menjadi benteng utama mengekalkan aktiviti ekonomi walau eksport dibebani cabaran global.
- Kestabilan sistem kewangan dan inflasi terkawal menambah keyakinan pengguna serta pelabur terhadap ekonomi negara.
- Pelaburan dalam teknologi, digital, tenaga dan pembuatan bernilai tinggi memperkukuh pertumbuhan serta daya tahan jangka panjang.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof.IKS Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, kekuatan asas ekonomi domestik menjadi faktor utama yang memastikan Malaysia terus mencatat pertumbuhan stabil dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurut beliau, penggunaan dalam negara kini menjadi benteng utama kepada ekonomi Malaysia ketika dunia sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik geopolitik dan kelembapan ekonomi global.
“Walaupun sektor eksport mungkin menerima tekanan akibat konflik global atau kelembapan ekonomi luar, penggunaan domestik masih membantu memastikan aktiviti ekonomi negara terus berkembang,” katanya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Beliau berkata, kestabilan sistem kewangan serta kadar inflasi yang terkawal turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan keyakinan pengguna dan pelabur terhadap ekonomi negara.
Tambah beliau, pelaburan dalam sektor strategik seperti teknologi, digital, tenaga dan pembuatan bernilai tinggi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh daya tahan Malaysia dalam jangka panjang.
“Gabungan antara penggunaan domestik dan pelaburan strategik inilah yang membantu ekonomi Malaysia terus kekal berdaya tahan dalam suasana ekonomi global yang mencabar,” katanya.