Krisis Asia Barat: 72 peratus pengilang tempatan alami kemerosotan operasi – FMM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Sektor pembuatan Malaysia kini berhadapan dengan situasi kritikal apabila krisis Asia Barat yang berlarutan mula menjejaskan rantaian bekalan bahan mentah, aliran tunai, dan kestabilan pekerjaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 72 peratus daripada 225 responden melaporkan operasi semakin merosot sejak awal April 2026.
  • Bekalan bahan mentah kritikal terjejas; kira-kira 70 peratus lapor kekurangan resin, polimer dan bahan pembungkusan.
  • Kenaikan kos pengangkutan laut 87%, tekanan aliran tunai 68% dan 28% syarikat merancang penyelarasan tenaga kerja; FMM kemukakan lapan cadangan kerajaan.

Dapatan tinjauan kedua Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendedahkan bahawa 72 peratus daripada 225 responden melaporkan keadaan operasi mereka semakin merosot sejak awal April 2026, dengan 22 peratus menyifatkan kemerosotan tersebut sebagai sangat ketara.

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, gangguan yang pada mulanya hanya melibatkan kos pengangkutan dan logistik kini telah merebak ke seluruh rantaian nilai pembuatan.

Ia menjejaskan ketersediaan bahan mentah, jumlah pesanan, keputusan pelaburan, dan pengambilan pekerja.

“Kira-kira 70 peratus responden melaporkan bekalan bahan mentah seperti resin, polimer, stok suapan petrokimia, logam, dan bahan pembungkusan kini berada pada tahap kritikal tanpa bahan ganti sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Tinjauan itu juga menunjukkan 87 peratus responden berhadapan kenaikan kos pengangkutan laut yang mendadak, manakala 68 peratus mengalami tekanan aliran tunai yang hebat sehingga menjejaskan keupayaan membayar pembekal.

Lebih membimbangkan, krisis itu mula mengancam sektor pekerjaan apabila 28 peratus syarikat telah atau sedang merancang penyelarasan tenaga kerja, termasuk pengurangan kerja lebih masa, pembekuan pengambilan pekerja, dan pemberhentian.

Sehubungan itu, FMM mengemukakan lapan cadangan segera kepada kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Antaranya memohon pengecualian duti dan cukai bagi bahan mentah alternatif, potongan cukai tambahan bagi kos pengangkutan berkaitan krisis, serta subsidi bahan api industri yang disasarkan.

FMM turut menggesa kerajaan memperkenalkan Sokongan Pengekalan Pekerjaan Sasaran bagi membantu syarikat, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), untuk terus mengekalkan kakitangan mereka sepanjang tempoh gangguan.

Sektor pembuatan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dengan merangkumi 23.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).