Kazakhstan bakal bina loji nuklear

Vladimir Putin (kiri) dan Kassym-Jomart Tokayev/ REUTERS

MOSCOW, 28 Mei – Rusia dan Kazakhstan menandatangani perjanjian bagi pembinaan loji kuasa nuklear pertama di negara terbesar Asia Tengah itu, dengan kos dianggarkan kira-kira AS$16.5 bilion, yang sebahagiannya dibiayai melalui pinjaman eksport besar dari Moscow.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majoriti dalam referendum 2024 menyokong pembinaan loji nuklear; kampung Ulken di tebing Tasik Balkhash dipilih sebagai lokasi.
  • Rosatom dipilih sebagai peneraju projek, mengatasi pesaing termasuk CNNC, EDF dan Korea Hydro & Nuclear Power.
  • Pembinaan dijadual bermula 2027, dengan reaktor pertama dijangka beroperasi pada awal 2034.
  • Warisan ujian nuklear Soviet meninggalkan kawasan tidak boleh didiami dan menjejaskan kesihatan, menimbulkan kebimbangan terhadap tenaga nuklear.

Kazakhstan, yang merupakan pengeluar uranium terbesar di dunia dan pernah terkesan akibat ujian nuklear era Soviet, telah membincangkan penggunaan tenaga nuklear sejak lebih dua dekad lalu.

Satu referendum pada tahun 2024 menunjukkan majoriti menyokong pembinaan loji kuasa nuklear, dengan kampung Ulken di tebing Tasik Balkhash di tenggara negara itu dipilih sebagai lokasi projek.

“Perjanjian yang ditandatangani hari ini bagi pembinaan loji kuasa nuklear Balkhash mempunyai peranan penting,” kata Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin atas sokongan beliau yang hadir ke Astana bagi perbincangan tersebut.

“Operasi loji ini akan memberi sumbangan besar kepada bekalan tenaga ekonomi Kazakhstan,” kata Putin.

Kedua-dua pihak turut menandatangani perjanjian berkaitan pinjaman eksport Rusia bagi membiayai pembinaan loji berkenaan.

Menurut agensi tenaga atom Kazakhstan perbadanan nuklear milik kerajaan Rusia, Rosatom, dipilih sebagai peneraju projek pembinaan loji tersebut, mengatasi beberapa pesaing termasuk China National Nuclear Corporation (CNNC), EDF dari Perancis dan Korea Hydro & Nuclear Power.

Ketua agensi tenaga atom Kazakhstan, Almasadam Satkaliyev, memaklumkan kos keseluruhan projek melibatkan dua reaktor VVER-1200 III+ itu dianggarkan sekitar AS$16.5 bilion, termasuk kira-kira AS$2 bilion bagi keselamatan dan infrastruktur.

Pembinaan dijadualkan bermula pada 2027, manakala reaktor pertama dijangka beroperasi pada awal 2034.

Kazakhstan sebelum ini menjadi lokasi ratusan ujian senjata nuklear era Soviet yang menyebabkan sebahagian kawasan menjadi tidak boleh didiami serta menjejaskan kesihatan penduduk setempat, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap penggunaan tenaga nuklear.

Namun, negara itu memerlukan sumber tenaga baharu kerana walaupun memiliki rizab gas asli yang besar, Kazakhstan masih bergantung kepada loji jana kuasa arang batu, selain tenaga hidro dan sumber boleh baharu yang semakin berkembang.

Ketika ini, Kazakhstan turut mengimport tenaga elektrik, kebanyakannya dari Rusia, berikutan keupayaan loji sedia ada yang semakin uzur dan tidak mampu menampung permintaan domestik.

Negara itu turut meluluskan pembinaan loji nuklear kedua dengan syarikat milik kerajaan China, CNNC, dipilih sebagai pembina utama.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.