
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling berharap pihak Prasarana mempertingkat kerja penyelenggaraan dan menaik taraf sistem pengangkutan awam susulan insiden tren tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, pagi tadi.
- Gangguan perkhidmatan menyukarkan rutin harian, memaksa pengguna mencari alternatif dan menambah kos perjalanan.
- Pengguna mencadangkan penambahan bas supaya masa menunggu tidak terlalu lama.
- Perlu notis awal mengenai gangguan supaya pengguna boleh merancang perjalanan dengan lebih baik.
- Kerosakan kerap memberi impak besar kepada warga kota, pekerja dan majikan terutama pada waktu puncak.
Tinjauan RTM di Stesen LRT Chan Sow Lin mendapati ramai pengguna terpaksa beralih kepada perkhidmatan pengangkutan lain meskipun berdepan gangguan perjalanan serta kelewatan pada waktu puncak selain berdepan pertambahan kos.
Seorang pengguna, Nuraqeela Batrisyia Ahmad Fizdri berkata gangguan tersebut memberi kesan kepada rutin hariannya kerana beliau bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam untuk ke tempat kerja.
“Bagi saya agak sukar kerana saya memang menggunakan tren setiap hari untuk pergi dan pulang dari tempat kerja. Apabila perkhidmatan terganggu seperti ini, keadaan menjadi tidak menentu dan saya terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk datang ke sini, sekali gus meningkatkan kos perjalanan.
“Sekarang hanya ada bas Rapid dan saya terpaksa menunggu hampir 15 hingga 20 minit tadi. Mungkin pihak berkaitan boleh menambah jumlah bas supaya pengguna tidak perlu menunggu terlalu lama,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Sheikah Nurina Najah Shekh Monhtar berkata gangguan perkhidmatan secara tiba-tiba menyukarkan pengguna terutama ketika waktu pulang bekerja.
“Saya harap keadaan dapat diperbaiki kerana situasi seperti ini menyukarkan orang ramai untuk berpatah balik atau mencari alternatif lain. Sejak pagi tadi pun keadaan sangat sesak dengan terlalu ramai pengguna menggunakan pengangkutan awam.
“Untuk mencari penyelesaian segera agak sukar kerana bas juga penuh dan perkhidmatan e-hailing bergerak perlahan akibat kesesakan lalu lintas. Memang sukar apabila perkara seperti ini berlaku,” katanya.
Bagi Rahimah Sarip pula, pengguna perlu diberikan notis awal sekiranya berlaku gangguan perkhidmatan supaya mereka boleh merancang perjalanan dan mencari alternatif lain.
“Saya menyarankan agar pihak berkaitan memberikan notis lebih awal kepada pengguna. Pengguna Rapid KL ini menggunakan perkhidmatan tersebut setiap hari, jadi mereka memerlukan pemberitahuan awal supaya dapat membuat perancangan lebih baik,” katanya.
Putera Muhammad Iskandar Suzaini pula berpandangan isu gangguan perkhidmatan pengangkutan awam semakin kerap berlaku dan memberi kesan besar kepada warga kota.
“Saya melihat kebelakangan ini kerosakan seperti ini agak kerap berlaku. Ia memberi kesan, khususnya kepada warga kota.
“Pada waktu ini pula merupakan waktu puncak, jadi apabila berlaku kerosakan seperti yang dimaklumkan pada waktu pagi tadi, ia memang menjejaskan ramai pihak. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pekerja, malah turut memberi implikasi kepada majikan,” katanya.
Terdahulu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin pagi tadi sehingga menjejaskan jadual perjalanan di laluan berkenaan.