
KUALA LUMPUR, 28 Mei -Syarikat telekomunikasi, Telekom Malaysia Berhad (TM) kekal di landasan tepat bagi merealisasikan aspirasi Digital Powerhouse menjelang 2030 melalui pelaksanaan berdisiplin strategi PWR30.
- Memperkukuh agenda AI dan kelestarian untuk mencipta nilai jangka panjang bagi semua pihak berkepentingan.
- Memperkukuh peranan sebagai penggerak ekosistem AI melalui pembangunan pusat data sedia AI, keupayaan awan dan keselamatan siber.
- Penggunaan AI diperkasakan secara dalaman melalui pusat hubungan berasaskan AI, pemodenan rangkaian dan program peningkatan kemahiran tenaga kerja.
- TM menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia menerima pensijilan ISO/IEC 42001:2023 bagi sistem pengurusan AI.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pihaknya akan terus memperkukuh agenda kecerdasan buatan (AI) dan kelestarian bagi memacu penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan.
“Bagi memperkukuh penciptaan nilai, kami mempercepat keupayaan AI dan inovasi digital, sambil menerapkan kelestarian dengan lebih mendalam merentas perniagaan, operasi dan pelaburan strategik kami.
“Ini memperkukuh keupayaan kami untuk menyokong keperluan digital yang semakin berkembang merentas perniagaan, komuniti dan negara.” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, sepanjang tahun ini, TM turut memperkukuh peranannya sebagai penggerak ekosistem AI negara melalui pembangunan pusat data sedia AI, keupayaan awan dan keselamatan siber, selain penyelesaian AI seperti bandar pintar (smart cities) dan perhutanan bandar pintar (smart urban forestry) untuk perusahaan, kerajaan dan syarikat teknologi global berskala besar (hyperscalers).
Pada masa sama, penggunaan AI turut diperkasakan di peringkat dalaman melalui pusat hubungan berasaskan AI, pemodenan rangkaian serta program peningkatan kemahiran tenaga kerja.
TM juga mencatat pencapaian apabila menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menerima pensijilan ISO/IEC 42001:2023 bagi sistem pengurusan AI.
“Setelah memperkukuh asas dan membina keupayaan digital baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami kini memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
“Tumpuan kami adalah untuk memastikan kemajuan yang mampan dan nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan serta negara, sambil meneruskan perjalanan kami ke arah menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030,” katanya lagi.
Perkembanga itu dikongsikan pada Mesyuarat Agung Tahunan (“AGM”) TM Ke-41 yang dipengerusikan oleh Pengerusi TM, Datuk Zainal Abidin Putih, bersama barisan Lembaga Pengarah serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Amar Huzaimi Md Deris.
Bagi tahun kewangan 2025, TM mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 1.4 peratus kepada RM11.9 bilion, dengan keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak RM2.0 bilion, serta aliran tunai operasi kukuh berjumlah RM2.5 bilion.
Jumlah pulangan pemegang saham (TSR) turut mencatat prestasi memberangsangkan pada 23.5 peratus, disokong peningkatan harga saham sebanyak 21 peratus.
Secara keseluruhan, kira-kira RM2.0 bilion nilai telah diagihkan kepada pemegang saham dan ekonomi pada 2025.