Kemarau teruk ancam sumber rezeki petani Filipina

Foto VIORY

NUEVA ECIJA, 10 November – Petani padi di Nueva Ecija, utara tengah Filipina, berdepan beban hutang yang semakin meningkat dan kekurangan makanan apabila kemarau teruk akibat fenomena El Nino yang sangat kuat memusnahkan hasil tanaman serta mengancam sumber pendapatan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman dron tunjukkan sawah padi di Darapidap menjadi kering kontang.
  • Petani sudah belanja untuk benih, baja dan upah 28 pekerja tetapi kehilangan keseluruhan hasil tanaman.
  • Keluarga terpaksa membeli beras, kadang hanya makan bubur menggantikan bekalan sebelum ini.
  • PAGASA memberi amaran El Nino kuat; pengeluaran padi negara merosot sekitar 18 peratus suku ketiga.

Rakaman dron pada Isnin menunjukkan kawasan sawah padi yang luas di sekitar Barangay Darapidap menjadi kering kontang.

Seorang petani, Virgilio Rojor berkata, keluarganya langsung tidak menjangkakan keadaan itu kerana fenomena berkenaan belum pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata keluarganya telah mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli benih, baja serta membayar upah 28 pekerja sebelum kehilangan keseluruhan hasil tanaman.

“Namun, apabila tiba masa untuk menuai, tiada apa yang dapat dituai kerana sumber air tiba-tiba kering,” katanya.

Rojor berkata bencana itu memaksa keluarganya membeli beras, sedangkan sebelum ini mereka sendiri mengusahakan tanaman berkenaan.

“Kami berharap kerajaan dapat membantu kerana sebelum ini kami tidak perlu membeli beras. Kini, kami terpaksa membelinya. Ini kali pertama kami perlu membeli beras. Ada kalanya, kami hanya makan bubur,” katanya.

Di Barangay Kirang yang terletak berhampiran, petani turut menggambarkan keadaan mereka yang terperangkap dalam beban hutang selepas membuat pinjaman untuk mengusahakan tanaman yang akhirnya musnah.

“Kesannya, kami sudah kehilangan sumber pendapatan kerana padi merupakan satu-satunya hasil utama di kawasan ini. Kini, kami benar-benar muflis, dibebani hutang dan tidak mempunyai wang kerana membuat pinjaman semata-mata untuk menanam padi,” kata seorang petani, Patricia Rivera.

“Jika tiada hujan, kami tidak mempunyai sumber kehidupan di sini,” katanya.

Krisis itu berlaku ketika agensi cuaca Filipina, PAGASA, memberi amaran bahawa fenomena El Nino yang sangat kuat sedang melanda negara itu, dengan lima wilayah mengalami kemarau manakala 11 lagi berdepan tempoh kering berpanjangan.

Jabatan Pertanian Filipina melaporkan pengeluaran padi negara itu merosot kira-kira 18 peratus pada suku ketiga berbanding tempoh sama tahun lalu.

Fenomena El Nino dijangka berterusan sehingga separuh pertama 2027.- VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.