Keselamatan siber perlu diperkukuh seiring peningkatan pembayaran digital

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 9 November – Peningkatan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan masyarakat menuntut langkah keselamatan siber lebih kukuh bagi memastikan kelancaran transaksi kewangan serta mengekalkan keyakinan pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sediakan wang tunai dalam jumlah munasabah sebagai langkah kesiapsiagaan jika transaksi digital terganggu.
  • Jangan panik atau bertindak terburu-buru; dapatkan maklumat daripada saluran rasmi institusi kewangan dan BNM.
  • Bank Negara mewajibkan kawal selia supaya institusi kewangan memperkukuh pertahanan siber dan mengadakan simulasi serangan tahunan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Che Aniza Che Wel berkata, walaupun pembayaran tanpa tunai memudahkan urusan harian, gangguan perkhidmatan boleh menimbulkan kesulitan kepada pengguna yang banyak bergantung kepada sistem berkenaan.

Beliau, pada masa sama, menasihatkan pengguna untuk mempunyai persediaan alternatif bagi memastikan urusan harian tidak terjejas sekiranya transaksi digital tergendala.

“Oleh itu, menyediakan wang tunai dalam jumlah yang munasabah merupakan langkah kesiapsiagaan yang bijak bagi memenuhi keperluan asas sekiranya transaksi digital terganggu buat sementara waktu.

“Namun pengguna tidak perlu panik dengan membuat pengeluaran wang secara besar-besaran, ancaman siber tidak bermaksud sistem perbankan negara berada dalam keadaan tidak selamat,” katanya kepada RTM.

Profesor Madya Dr Che Aniza turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin atau bertindak terburu-buru susulan kebimbangan terhadap ancaman siber.

Sebaliknya, pengguna disaran mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi institusi kewangan masing-masing dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum membuat sebarang keputusan.

Sebelum ini, BNM menetapkan keperluan kawal selia bagi memastikan institusi kewangan terus memperkukuh pertahanan keselamatan siber, termasuk melaksanakan latihan simulasi serangan siber setiap tahun.

Langkah itu turut bertujuan memastikan operasi perkhidmatan kewangan dapat dipulihkan dengan gangguan minimum sekiranya berlaku insiden.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.