
KUALA LUMPUR, 9 November – Sebanyak 50 syarikat makanan dan minuman (F&B) Malaysia bakal meneroka peluang pasaran baharu di Asia Tengah menerusi penyertaan julung kali negara dalam FoodExpo Qazaqstan 2026 di Almaty, Kazakhstan, dari 11 hingga 13 November ini.
- MATRADE sertakan PKS dan PMKS dalam strategi mempelbagaikan pasaran eksport negara.
- Kazakhstan dianggap pintu masuk strategik ke pasaran Asia Tengah dan Eurasia untuk pengembangan perniagaan Malaysia.
- Perdagangan Malaysia-Kazakhstan meningkat ketara, mengukuhkan asas peluang eksport dan kerjasama perdagangan.
- Pameran tonjol produk bersijil halal, bahan premium, produk bernilai tambah dan francais; delegasi sertai forum serta lawatan pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Abu Bakar Yusof berkata, penyertaan itu turut melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan pasaran eksport negara.
Menurut beliau, Kazakhstan berpotensi menjadi pintu masuk strategik kepada pengeksport tempatan untuk menembusi pasaran Asia Tengah dan Eurasia yang semakin berkembang.
“Potensi ini turut disokong pertumbuhan perdagangan dua hala Malaysia-Kazakhstan sebanyak 58.9 peratus kepada RM1.02 bilion pada 2025, manakala eksport Malaysia ke Kazakhstan meningkat 37.7 peratus kepada RM726.7 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Antara produk dan perkhidmatan yang akan diketengahkan pada pameran itu ialah makanan dan minuman bersijil halal, bahan ramuan premium, produk pengguna bernilai tambah serta francais makanan.
Datuk Abu Bakar berkata, rantau Asia Tengah yang mempunyai kira-kira 80 juta penduduk menawarkan peluang kepada syarikat Malaysia untuk memperluas jangkauan perniagaan.
Selain itu, saiz ekonomi Kazakhstan yang dianggarkan bernilai AS$306 bilion serta perdagangan runcit berjumlah AS$25.7 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026 turut mencerminkan potensi pasaran negara berkenaan.
Delegasi Malaysia juga dijadual menyertai Forum Perniagaan Malaysia-Kazakhstan bagi menjalin hubungan dengan pemimpin perniagaan tempatan serta bakal rakan kongsi.
Penyertaan itu turut disusuli lawatan pasaran ke rangkaian peruncitan, pengeluar makanan dan pengendali industri di Kazakhstan untuk mengenal pasti peluang kerjasama komersial serta saluran pengedaran baharu.