
KUALA LUMPUR, 8 November – Penggunaan solar di kediaman berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan elektrik konvensional, sekali gus membantu mengehadkan keperluan pembinaan loji jana kuasa baharu dalam jangka panjang.
- Galakan penggunaan solar memberi penjimatan pengguna dan bantu kawal kos bekalan elektrik negara dan masyarakat.
- Peningkatan taraf hidup menaikkan penggunaan elektrik per kapita, berpotensi meningkatkan kos bekalan negara.
- Skim ATAP membolehkan pemasangan panel solar berserta bateri untuk menjana dan menyimpan tenaga bagi digunakan waktu malam.
- Skim NEM salurkan lebihan tenaga ke grid dan beri kredit kepada pengguna untuk mengimbangi bil elektrik mereka.
Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Kamal Arifin A Rahman berkata, usaha menggalakkan penggunaan tenaga solar bukan sahaja memberi penjimatan kepada pengguna, malah berpotensi membantu mengawal kos bekalan elektrik kepada negara dan masyarakat.
“Berdasarkan statistik, semakin maju sesebuah negara, semakin tinggi penggunaan elektrik per kapita. Ini kerana peningkatan taraf hidup dan pendapatan membolehkan masyarakat memiliki lebih banyak peralatan elektrik di kediaman masing-masing.
“Sekiranya keperluan itu terus meningkat, kos bekalan elektrik kepada negara dan masyarakat juga berpotensi menjadi lebih tinggi.
“Justeru, penggunaan solar itu sudah tentu dapat membantu mengurangkan keperluan pembakaran bahan api untuk menjana elektrik serta pembinaan loji jana kuasa baharu dalam jangka panjang.
“Jika kita dapat mengamalkan kecekapan tenaga ini, ia mampu memberikan penjimatan kepada semua pihak.” katanya dalam audio siar di YouTube Financial Faiz.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna boleh memanfaatkan skim Solar ‘Accelerated Transition Action Programme’ (ATAP) dengan memasang panel solar di kediaman yang dilengkapi sistem bateri bagi menjana dan menyimpan tenaga elektrik.
Menurut beliau, tenaga solar yang dijana pada waktu siang boleh disimpan di dalam bateri untuk digunakan pada waktu malam, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik daripada grid.
“Di bawah skim ATAP, pengguna boleh menambah bateri pada sistem solar untuk menyimpan lebihan tenaga yang dijana.
“Manakala, bagi skim ‘Net Energy Metering’ (NEM) pula, lebihan tenaga solar akan disalurkan ke grid elektrik dan pengguna akan menerima kredit yang boleh digunakan untuk mengimbangi bil elektrik mereka,” katanya lagi.