MWC: Malaysia lihat potensi kesalinghubungan satelit perkukuh komunikasi ketika bencana

Foto FB Fahmi Fadzil

DOHA, 8 November – Malaysia melihat potensi besar untuk memanfaatkan kesalinghubungan satelit dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana serta daya tahan sistem komunikasi negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Integrasi rangkaian terestrial dan bukan terestrial untuk meningkatkan daya tahan komunikasi ketika kecemasan.
  • MCMC PRIME menyediakan sistem radio dan Internet mudah alih alternatif bagi memastikan kesalinghubungan apabila rangkaian konvensional terganggu.
  • Kesalinghubungan boleh dipercayai penting untuk menyelaraskan operasi penyelamat dan memberi maklumat penting kepada komuniti terjejas.
  • Kerjasama erat antara MCMC, pengendali telekomunikasi, NADMA dan pihak berkuasa memperkukuh kesiapsiagaan serta pemulihan rangkaian.

Beliau berkata teknologi baharu itu berupaya melengkapi infrastruktur telekomunikasi konvensional, khususnya di kawasan pedalaman dan kawasan terjejas akibat bencana yang mungkin memerlukan penyelesaian kesalinghubungan alternatif.

Datuk Seri Fahmi berkata Malaysia turut melihat potensi mengintegrasikan rangkaian terestrial dan bukan terestrial bagi meningkatkan daya tahan sistem komunikasi ketika menghadapi situasi kecemasan.

“Malaysia melihat peluang untuk terus memanfaatkan teknologi baharu termasuk AI, kesalinghubungan satelit serta rangkaian terestrial dan bukan terestrial yang bersepadu bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana dan daya tahan sistem komunikasi.

“Teknologi ini boleh melengkapi infrastruktur konvensional, khususnya di kawasan pedalaman atau kawasan terjejas akibat bencana yang mungkin memerlukan penyelesaian kesalinghubungan alternatif,” katanya pada Ministerial Panel bersempena dengan Mobile World Congress (MWC) Doha 2026: Digital Leadership Forum di sini hari ini.

Datuk Seri Fahmi berkata Malaysia kini memberikan penekanan lebih besar terhadap usaha memperkukuh keupayaan telekomunikasi kecemasan bagi memastikan perkhidmatan komunikasi penting dapat diteruskan sekiranya rangkaian konvensional mengalami gangguan.

Beliau berkata kesalinghubungan yang boleh dipercayai amat penting ketika bencana bagi membolehkan pasukan penyelamat menyelaraskan operasi menyelamat, selain memastikan komuniti terjejas mendapat akses kepada maklumat penting.

“Ketika bencana, kesalinghubungan bukan sekadar kemudahan. Ia boleh menjadi penentu sama ada bantuan dapat diterima tepat pada masanya atau seseorang terputus hubungan dengan dunia luar,” katanya.

Bagi menangani cabaran itu, Datuk Seri Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membangunkan MCMC PRIME (Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak), iaitu sistem komunikasi radio dan Internet mudah alih yang direka bagi memastikan kesalinghubungan dapat diteruskan apabila rangkaian telekomunikasi konvensional terganggu.

Beliau berkata sistem itu menyediakan saluran komunikasi alternatif ketika kecemasan, sekali gus memudahkan penyelarasan antara pasukan tindak balas kecemasan serta memastikan akses kepada maklumat penting terus tersedia.

Katanya, inisiatif itu amat relevan ketika berlaku banjir besar apabila kerosakan infrastruktur telekomunikasi atau gangguan bekalan elektrik boleh menjejaskan rangkaian mudah alih konvensional.

Datuk Seri Fahmi berkata pendekatan Malaysia turut menekankan kerjasama erat antara MCMC dengan pengendali telekomunikasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata kerjasama itu penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, mengenal pasti infrastruktur rangkaian yang terjejas dan menyelaraskan usaha pemulihan, selain memudahkan komunikasi antara pasukan tindak balas kecemasan dengan komuniti terjejas.

Datuk Seri Fahmi turut menekankan kepentingan penyampaian amaran kepada orang ramai tepat pada masanya serta akses kepada maklumat rasmi yang boleh dipercayai bagi membolehkan masyarakat mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya ketika kecemasan.

“Daya tahan rangkaian bukan sekadar memastikan infrastruktur tidak mengalami kerosakan, tetapi juga menjamin komunikasi penting dapat diteruskan atau dipulihkan secepat mungkin apabila nyawa dan keselamatan orang ramai menjadi taruhan,” katanya. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.