
SAO PAULO, 8 November – Pelumba Mercedes, George Russell meluahkan kekecewaannya selepas terlepas peluang meraih petak utama Grand Prix (GP) Sao Paulo apabila pasukan membuat kesilapan pertimbangan ketika sesi kelayakan di litar Interlagos.
- Pasukan arah Russell perlahan sebelum pusingan terakhir kerana jangkaan hujan, menyebabkan beliau membatalkan percubaan.
- Hujan menjadi lebih lebat, menutup peluang untuk cabar masa terpantas Lando Norris.
- Beliau akui musim ini memang tidak berpihak kepada dirinya namun sesi kelayakan kembalikan keyakinan.
- Russell dikenakan penalti lima petak, turun ke petak ketujuh; Antonelli mulakan perlumbaan dari petak kedua.
Russell, 28, yang menduduki tempat kedua dalam sesi kelayakan Q3, terpaksa membatalkan percubaan pusingan terakhir selepas pasukan Mercedes mengarahkannya memperlahankan jentera kerana menjangkakan hujan akan kembali reda.
Bagaimanapun, jangkaan itu meleset apabila hujan semakin lebat, sekali gus menutup peluang pelumba Britain itu untuk mencabar masa terpantas yang dicatat Lando Norris dari McLaren.
Russell percaya pusingan berkenaan mampu membawanya ke petak utama, meskipun sedikit terhalang oleh pelumba Williams, Alex Albon.
“Perlumbaan nanti pastinya mencabar, tetapi prestasi ini memberikan saya keyakinan. Ia mengingatkan saya bahawa saya masih mampu memandu dan bersaing dengan baik. Saya fikir itu penting dalam situasi yang sedang saya hadapi ketika ini.
“Amat bermakna bagi saya sekiranya berjaya meraih petak utama menerusi prestasi cemerlang seperti yang kami tunjukkan dalam sesi kelayakan. Saya rasa situasi ini sedikit sebanyak menggambarkan perjalanan saya sepanjang musim ini.
“Sebagai sebuah pasukan, kami hanya mempunyai satu matlamat minggu ini, iaitu memastikan kejuaraan menjadi milik Mercedes. Namun, musim ini nampaknya memang tidak berpihak kepada saya,” katanya yang memetik laman rasmi Formula One.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai satu kesilapan pertimbangan bersama pasukan, namun mengakui prestasi dalam sesi kelayakan tetap memberikan keyakinan menjelang perlumbaan.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Kimi Antonelli menamatkan sesi kelayakan di tempat ketiga, namun akan memulakan perlumbaan dari petak kedua susulan penalti lima petak yang dikenakan terhadap Russell.
Russell yang diturunkan ke petak ketujuh tetap berharap Mercedes mampu mengutip mata penting bagi memastikan kejuaraan musim ini menjadi milik pasukan itu.