
KOTA BHARU, 8 November – Seorang lelaki ditahan bersama 27 liter air ketum dan dua ekor burung murai batu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Pak Esah, Selising, Pasir Puteh, semalam.
- Rampasan 18 bungkusan air ketum; lapan di dalam rumah, 10 dalam kotak putih di kawasan semak belakang rumah.
- Suspek dipercayai aktif menjual air ketum sejak 2022, harga dinaikkan dari RM10 kepada RM15 sebungkus.
- Nilai rampasan dianggarkan RM51,610; kes disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.50 petang yang turut membawa kepada rampasan 18 bungkusan air ketum serta dua sangkar burung.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dalam rumah menemukan lapan bungkusan plastik lutsinar berisi air ketum.
“Manakala 10 lagi bungkusan ditemukan di dalam sebuah kotak putih di kawasan semak di belakang rumah suspek.
“Turut ditemukan dua ekor burung murai batu tanpa kebenaran,” katanya.
Tambah beliau, suspek dipercayai aktif menjual air ketum sejak 2022 dengan harga RM10 sebungkus sebelum menjualnya kepada pelanggan pada harga RM15 sebungkus.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM51,610.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Suspek ditahan untuk siasatan lanjut, manakala rampasan burung murai batu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.