Empat ditahan bakar mercun di jalan raya di Skudai

Logo PDRM / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 9 November – Empat lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat kes membakar mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, Johor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dibuat selepas polis mengesan rakaman video tular; beberapa rampasan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah.
  • Semua suspek tiada rekod jenayah dan ujian saringan air kencing awal didapati negatif.
  • Kes disiasat bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan; polis mengesan tiga lagi suspek.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Azrol Anuar Nor berkata, semua suspek berusia antara 16 hingga 25 tahun ditahan kira-kira pukul 7.30 malam semalam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah daerah berkenaan.

Menurutnya, beberapa rampasan turut dilakukan dalam operasi itu selepas polis mengesan rakaman video kejadian yang tular di media sosial pada hari sama.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala keputusan ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi permohonan perintah reman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, polis sedang giat mengesan tiga lagi individu yang disyaki turut terlibat dalam kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan gopoh atau cuai melibatkan bahan letupan yang boleh membahayakan orang lain.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menghalang atau menyusahkan pengguna jalan raya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.