23 maut dalam pertempuran di Sudan Selatan

Pasukan yang menyokong Presiden Salva Kiir dan bekas Naib Presiden Riek Machar pernah terlibat dalam perang saudara dari 2013 hingga 2018 yang mengorbankan lebih 400,000 orang./ Foto fail AFP

JUBA, 8 November – Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh manakala ribuan lagi terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing susulan pertempuran antara pasukan kerajaan Sudan Selatan dan kumpulan pembangkang di bahagian utara negara itu sejak empat minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertempuran antara pasukan kerajaan dan pembangkang di utara berlaku menjelang pilihan raya 22 Disember, meningkatkan ketegangan politik negara.
  • SPLA-IO pimpinan Riek Machar dikatakan memasuki Ruweng dari negeri Unity, mencetuskan pertempuran dan menimbulkan kebimbangan komuniti setempat.
  • Menteri dan polis mengesahkan korban serta kecederaan, sementara agensi lain melaporkan orang ramai melarikan diri.
  • PBB memberi amaran pilihan raya dalam suasana tegang boleh mencetuskan konflik baru; negara masih bergelut dengan kemiskinan dan rasuah.

Pihak berkuasa dan polis memaklumkan pertempuran itu berlaku ketika negara berkenaan semakin menghampiri pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung pada 22 Disember ini.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ratusan orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara pasukan yang setia kepada Presiden Salva Kiir dengan penyokong bekas Naib Presiden Riek Machar yang kini ditahan, selain tercetusnya konflik berasaskan etnik.

Menteri Penerangan Kawasan Pentadbiran Ruweng, Tony Chol Ayat, berkata anggota Tentera Pembebasan Rakyat Sudan dalam Pembangkang (SPLA-IO) pimpinan Machar memasuki kawasan Ruweng dari negeri jiran, Unity.

Menurutnya, pertempuran yang bermula 4 Oktober hingga Khamis lalu mengorbankan 23 orang dan mencederakan 17 yang lain.

Angka korban itu turut disahkan oleh dua sumber polis.

Chol Ayat berkata, lebih 100,000 penduduk melarikan diri daripada kawasan pertempuran, manakala seorang sumber polis mengesahkan bahawa “ribuan penduduk” telah meninggalkan kawasan berkenaan.

Seorang penduduk Ruweng yang enggan dikenali berkata, anggota SPLA-IO memulakan pertempuran sebelum pasukan kerajaan memperkukuh kedudukan mereka di barisan hadapan.

“Kerajaan memperkukuh pasukan di barisan hadapan dan tentera pemberontak berjaya dipukul mundur,” katanya kepada AFP.

Seorang lagi penduduk berkata, kebimbangan terhadap kemungkinan konflik semakin memuncak kini semakin meningkat.

Jurucakap tentera Sudan Selatan enggan mengulas mengenai perkembangan itu, manakala pasukan Riek Machar tidak memberikan maklum balas terhadap pertanyaan AFP.

Sudan Selatan memperoleh kemerdekaan pada 2011 dan kini berdepan kemiskinan meluas serta masalah rasuah.

Pasukan yang menyokong Kiir dan Machar pernah terlibat dalam perang saudara dari 2013 hingga 2018 yang mengorbankan lebih 400,000 orang.

Pilihan raya presiden dan parlimen pertama negara itu juga sudah beberapa kali ditangguhkan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), yang sebelum ini menuduh golongan elit negara itu menyeleweng berbilion-bilion dolar hasil minyak, memberi amaran bahawa pelaksanaan pilihan raya dalam keadaan ketegangan semasa berisiko mencetuskan konflik baharu secara meluas. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.