Dua kereta api bertembung di selatan Kaherah, 120 cedera

Foto fail Viory

KAHERAH, 8 November – Sekurang-kurangnya 120 orang cedera selepas dua buah kereta api bertembung di selatan ibu negara Mesir, Kaherah, pada Ahad, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dari landasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan membabitkan kereta api dari Giza ke Fayoum dan satu lagi menuju Aswan dari Kaherah.
  • Kereta api dari Giza merempuh bahagian belakang kereta api yang bergerak ke selatan negara.
  • Pasukan kecemasan menggunakan kren untuk mengalihkan bangkai dan serpihan gerabak di lokasi kejadian.
  • Pihak berkuasa melancarkan siasatan di Al-Ayyat; kawasan itu pernah menyaksikan nahas kereta api paling buruk.

Akhbar kerajaan, Al-Akhbar Al-Youm melaporkan, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta api yang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum dan sebuah lagi menuju ke bandar Aswan dari Kaherah.

Menurut pihak berkuasa kereta api Mesir, kereta api dari Giza merempuh bahagian belakang kereta api yang bergerak menuju ke selatan negara itu.

Pasukan kecemasan menggunakan kren bagi mengalihkan bangkai serta serpihan gerabak yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Kementerian Kesihatan Mesir memaklumkan, sebanyak 52 ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian sebelum mangsa yang cedera dibawa ke dua hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Pihak berkuasa turut melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca pertembungan yang berlaku di kawasan Al-Ayyat, Giza, lokasi yang pernah menyaksikan nahas kereta api paling buruk dalam sejarah Mesir.

Pada 2002, lebih 370 orang maut selepas kebakaran merebak dalam sebuah kereta api yang membawa penumpang pulang bercuti ke selatan Kaherah.

Beberapa kemalangan kereta api lain turut berlaku di kawasan berkenaan pada 2009, mengorbankan puluhan nyawa.

Dengan populasi kira-kira 110 juta penduduk, rakyat Mesir amat bergantung kepada perkhidmatan kereta api untuk pengangkutan harian.

Dalam tempoh sedekad lalu, Mesir membelanjakan berbilion dolar bagi menaik taraf infrastruktur pengangkutan termasuk pembinaan lebuh raya baharu dan laluan kereta api berkelajuan tinggi.

Namun, sebahagian besar rangkaian kereta api lama negara itu masih belum menjalani proses pembaharuan menyeluruh. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.