
KAHERAH, 9 November – Sekurang kurangnya empat penumpang maut manakala 88 lagi cedera selepas dua kereta api bertembung sebelum tergelincir dan terbalik di Wilayah Giza, utara Mesir, pada Ahad.
- Menurut Pihak Berkuasa Kereta Api Mesir, sebuah kereta api merempuh bahagian belakang kereta api lain.
- Presiden al-Sisi arahkan siasatan segera, tingkatkan kesiapsiagaan dan sediakan rawatan kecemasan di Giza dan Beni Suef.
- Walaupun pelaburan besar, sebahagian besar rangkaian rel lama masih belum diperbaharui, menyumbang kepada kemalangan berulang.
Pihak Berkuasa Kereta Api Mesir dalam kenyataan memaklumkan, sebuah kereta api yang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum merempuh bahagian belakang sebuah lagi kereta api yang menuju ke selatan dari Kaherah ke bandar Aswan.
Pasukan penyelamat turut menggunakan kren bagi mengalihkan serpihan gerabak yang remuk dalam kejadian itu.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau turut mengarahkan supaya tahap kesiapsiagaan dipertingkatkan dan rawatan kecemasan disediakan kepada mangsa yang cedera, termasuk di semua kemudahan kesihatan di Wilayah Giza serta wilayah jiran, Beni Suef.
Kementerian Kesihatan Mesir memaklumkan, sebanyak 72 ambulans telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat dan memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa.
Pada masa sama, Kementerian turut memantau rapi keadaan kesemua mangsa yang cedera selain menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban
Mesir yang mempunyai kira-kira 110 juta penduduk bergantung secara meluas kepada perkhidmatan kereta api untuk pengangkutan harian.
Bagaimanapun, rangkaian rel negara itu berulang kali berdepan kemalangan maut.
Dalam tempoh sedekad lalu, kerajaan Mesir telah membelanjakan berbilion dolar untuk menaik taraf infrastruktur pengangkutan, termasuk pembinaan lebuh raya baharu dan laluan kereta api berkelajuan tinggi.
Namun, sebahagian besar rangkaian kereta api lama negara itu masih belum melalui proses pembaharuan menyeluruh. – AFP